KEPUTUSAN PEPERIKSAAN LAA 2053 DAN LCA 4512

Pejabat Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang                                                                                                                                         USIM  : 2.3/163/1 Jilid 3 (21)

Tel : 06-7988407   Fax : 06-7988530                                                                                                                                                  12  Jamadil Akhir 1429H/16 Jun 2008

 

PUAN YASMIN NORHAZLEENA BAHARI MD. NOR

Pensyarah

Fakulti Syariah dan Undang-Undang

Universiti Sains IslamMalaysia(USIM)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Puan,

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN LAA 2053 DAN LCA 4512

Dengan hormatnya saya ingin merujuk kepada surat puan bertarikh 9hb. Jun 2008 dan surat kedua bertarikh 12hb. Jun 2008 yang bertajuk ‘Refutation of Distorted Facts in Your Letter Dated 5 June 2008’.

2.       Sebagaimana yang puan sedia maklum isu utama yang berbangkit dari surat saya bertarikh 5hb. Jun 2008 kepada puan ialah keputusan peperiksaan dua kursus yang dikendalikan oleh puan iaitu LAA 2053 dan LCA 4512.  Bagi kursus pertama, 135 daripada 137 pelajar diberi taraf gagal (hanya 2 orang pelajar sahaja yang lulus) manakala kursus kedua, 18 daripada 20 orang (hanya 2 orang sahaja yang lulus).

3.       Keputusan di atas yang luar biasa menimbulkan tanda tanya dan merisaukan fakulti dan saya sebagai Dekan fakulti yang bertanggungjawab dalam soal pengajaran dan pembelajaran.  Kerisauan saya bukan kerana terdapat pelajar yang gagal, tetapi kedudukan keputusan adalah terbalik iaitu 98.4% gagal dan 1.5% sahaja yang lulus (bagi LAA 2053).  Mesyuarat penyelerasan gred fakulti yang diadakan pada 26hb. Mei 2008 memutuskan agar puan melihat semula penilaian dua kursus di atas untuk kepastian dan kewajaran sebelum dimuktamadkan ke senat, dan  bukan supaya puan mengubah markah begitu sahaja seperti sangkaan puan yang diulangi beberapa kali dalam surat puan dan dua kali pertemuan saya dengan puan.  Saya memanggil puan, ekoran keputusan mesyuarat penyelarasan gred untuk menyatakan perlunya keputusan peperiksaan tersebut dilihat semula di samping perkara-perkara lain berkaitan untuk membetulkan sangkaan puan yang terus menganggap saya dan fakulti mencabar kewibawaan dan integriti puan dan meminta apa yang dikatakan puan “mengubah markah”.  Ini ekoran email puan yang masih keliru dengan tujuan sebenar.  Dalam email kepada setiausaha saya ada menyatakan antara lain ‘ untuk makluman puan, saya telah diarahkan oleh Prof. Samat pada 27hb. Mei 2008 untuk akur terhadap keputusan mesyuarat penyelarasan markah pada 27hb. Mei 2008, iaitu saya diarahkan oleh Prof. Samat untuk mengubah markah pelajar”.  Kenyataan ini bercanggah dengan keputusan mesyuarat supaya ‘ melihat semula penilaian kursus’.

4.       Surat saya kepada puan bertarikh 5hb. Jun 2008 adalah atas kedudukan saya sebagai Dekan yang bertanggungjawab dalam soal akademik.  Dua perkara utama yang saya sebutkan.  Pertama, ketidaksediaan puan melihat semula penilaian kursus.  Kedua, kemungkinan ada kaitan pendekatan dan keberkesanan pengajaran dengan jumlah kegagalan pelajar yang begitu teruk.  Saya menyatakan fakulti memandang berat perkara pertama dan meminta puan memberi perhatian kepada perkara kedua secara serius.  Saya menerima dua surat jawapan puan(sebenarnya tiga, tetapi surat kedua puan batalkan).  Dalam surat pertama, puan menyatakan puan tidak bersetuju dengan kandungan dan membantah apa yang puan anggapkan sebagai tuduhan daripada saya dan fakulti terhadap puan.  Saya membaca dengan teliti.  Saya tidak memberi reaksi dengan segera kerana kesibukan tugas dan pada mulanya saya terfikir mungkin saya boleh bawa perkara ini dalam mesyuarat fakulti yang akan datang.  Sebelum sempat saya menjawab, puan telah menambah lagi tuduhan yang lebih serius iaitu saya melakukan ‘ Distortion of Facts’.

5.       Dalam surat saya kepada puan, ia tidak mempunyai apa-apa tuduhan.  Arahan yang saya keluarkan adalah selari dengan maksud dan intipati keputusan mesyuarat dan hasrat sebenar pertemuan saya dengan puan.  Dalam surat pertama, puan menyatakan saya dan fakulti menghukum puan tidak efisien dan kompeten semata-mata kerana puan tidak mengikut ‘ paksaan’ saya ‘ meluluskan pelajar yang gagal’ (para. 2 surat pertama). Kenyataan seperti ini amat tidak bertanggungjawab dan tidak masuk akal kerana saya dan fakulti dikatakan memaksa puan meluluskan pelajar yang gagal.  Ini kerana perkataan seperti ini tidak pernah keluar dari mulut saya dan tidak pernah disebut dalam mesyuarat fakulti sedemikian.  Dalam mesyuarat, saya menyebut puan perlu melihat semula penilaian kursus berkenaan.  Saya juga mengatakan saya bukan bermaksud puan mesti meluluskan pelajar kalau setelah penilaian semula, masih ada pelajar yang sepatutnya diberi taraf gagal.  Dalam surat kedua, puan cuba mengelak dari persoalan pokok dengan berhujah dan membuat kesimpulan dengan menggunakan berbagai istilah bahasa Inggeris yang bermaksud saya mengeluarkan arahan agar puan mengubah markah pelajar.  Puan menggunakan berbagai-bagai istilah seperti “ must change the marks”, “ alter the marks” dan yang lebih serius lagi “ orders to manipulate and falsify the marks”.  Tuduhan mengatakan saya mengarahkan puan falsify (memalsukan) markah adalah amat serius.  Saya beberapa kali menyebut kepada puan, saya bukan memaksa puan mengubah markah secara sewenang-wenangnya.  Apa yang diminta dari awal adalah melihat semula penilaian kursus.  Tidak ada apa-apa ‘ distortion’ seperti yang puan katakan.  Puan nampaknya cuba mengalih pandangan daripada keputusan atau arahan supaya melihat semula penilaian kepada arahan mengubah dan memalsukan markah.  “Melihat/menilai semula” dan “mengubah”  merupakan dua perkara yang berbeza.   Apa yang dikatakan oleh puan merupakan anggapan dan persepsi puan sendiri, dan perkataan-perkataan itu tidak dikeluarkan oleh saya. 

  1.    Puan juga mendakwa pertemuan saya dengan puan bertukar menjadi ‘ indoctrination’ dan ‘coercion’.  Ini tambahan perkataan yang keluar dari minda puan sendiri, yang tidak disebutkan oleh saya.  Sebenarnya, saya tidak mengarahkan puan berjumpa saya (perjumpaan pertama).  Saya hanya meminta En. Mohd Shahrul Nizam (Penolong Pendaftar) mengingatkan puan kepada keputusan mesyuarat sahaja.  Saya tidak tahu apa yang disebutkan oleh beliau kepada puan.  Mungkin berlaku kekeliruan.  Walau bagaimanapun, saya menerima puan dan berbincang mengenai pemarkahan.  Saya juga banyak mendengar pandangan dan pendirian puan.  Saya juga telah memberikan pandangan saya.  Dalam surat puan yang kedua, puan ada menyatakan (saya memetik kata-kata puan) “ I had explained to you at length…”.  Kalau begini, ini bukan ‘indoctrination’ and ‘coercion’ namanya.  Pertukaran pandangan dari kedua-dua belah pihak berlaku dalam keadaan terbuka dan saya memberi penjelasan kepada puan.  Puan menyatakan dalam surat puan ‘that manipulation of marks is tantamount to cheating and Islam prohibits such acts’ dan puan seterusnya menyatakan puan mempunyai integriti.  Saya tidak menafikannya dan menghormati integriti puan.  Saya tidak pernah meminta puan melakukan ‘cheating’.  Saya menyatakan saya tidak menyuruh puan menipu tetapi melihat semula sistem penilaian dan bukan memerintah puan mengubah markah begitu tanpa atas pertimbangan yang wajar.  Saya dan fakulti hanya meminta puan supaya ‘melihat semula’ dan tidak ‘dictate’ kepada puan secara terperinci apa yang puan harus lakukan kerana pemberian markah adalah hak pensyarah.  Saya hanya menyebut contoh asas-asas pertimbangan dan kemungkinan skima dilihat semula yang mungkin boleh difikirkan oleh puan. 

 

  1.   Dalam penilaian dan semakan semula, mungkin berlaku perubahan markah, dan jika berlaku atas sebab-sebab munasabah, itu bukanlah ‘cheating’.  Puan menyatakan saya memanggil puan kerana saya tidak berpuas hati dengan pindaan markah yang dilakukan oleh puan terhadap 2 orang pelajar, dan mendakwa saya memaksa puan membuat pindaan lagi terhadap pelajar-pelajar lain.  Ini satu kesimpulan ‘naive’.  Penilaian semula bukan sekadar melihat kepada satu dua calon dengan meminda markah mereka seperti yang puan lakukan yang kononnya disebabkan oleh paksaan saya.  Tetapi puan sendiri mengetahui puan telah meminda semula markah tersebut dimana kedudukan kembali kepada asal.  Puan memaklumkan kepada saya hal ini dalam perjumpaan  kedua dan saya menyatakan itu terserah kepada puan.  Itu menunjukkan saya tidak pernah memaksa puan mengubah markah.  Semasa perjumpaan, memang diakui sebagai seorang Dekan, saya menyebut beberapa senario dan implikasi kalau ramai pelajar yang gagal, tetapi itu bukan bermakna saya memaksa puan meluluskan pelajar yang ‘gagal’.  Keputusan atau apa yang saya sebutkan ialah ‘ melihat semula’ dan bukan mengarah atau memaksa puan supaya ‘manipulate’ atau ‘falsify’ markah seperti tuduhan liar puan.  Oleh itu ia tidak bercanggah dengan UNESCO’S Recommendations concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel, kerana apa yang puan dakwa adalah semata-mata mainan minda puan sendiri.  Sebagai seorang yang berintegriti, tidak wajar puan membuat tuduhan tanpa asas yang kukuh. 

 

  1.   Dalam soal keputusan peperiksaan seperti pemarkahan, kalau terdapat keluarbiasaan (seperti dalam kes kursus puan), saya sebagai Dekan berhak meminta pensyarah menyemak dan menilai semula, dan ini bukan suatu ‘dispicable act’, tetapi untuk tujuan ketelitian.  Surat saya kepada puan bertarikh 5hb. Jun 2008 yang menyebut keengganan puan, bukan kerana keengganan puan mematuhi arahan supaya melakukan manipulasi terhadap markah (anggapan puan), tetapi ketidaksediaan puan melihat semula penilaian kursus puan.  Keputusan mesyuarat penyelarasan gred bukan menghukum dan meragui kejujuran puan.  Saya dan fakulti tidak pernah mempersoalkan kejujuran puan memeriksa kertas jawapan bagi kursus puan dan tidak berniat untuk ‘condemn’ puan.  Saya memohon maaf kalau puan terasa demikian.  Surat saya kepada puan juga tidak ada niat sedemikian dan tidak bermaksud mencabul integriti puan.  Ia juga tidak mengubah maksud asal.  Saya menjalankan tugas Dekan yang amat ‘concerned’ dengan soal akademik fakulti kita.  Permintaan saya agar puan melihat semula penilaian adalah kerana kursus puan melibatkan hampir 100% pelajar gagal.  Oleh itu, adalah wajar dilihat semula cara penilaiannya.  Dalam hal ini, puan dari awal tidak menunjukkan kesediaan untuk melihatnya semula secara keseluruhan atas alasan puan sudah melakukan pemeriksaan dengan jujur berdasarkan skima jawapan yang telah ditetapkan dan atas ‘premise’, arahan melibatkan pindaan markah yang dikira mencabar integriti puan.   Keputusan fakulti bermaksud supaya perkara ini dilihat semula sekali lagi secara serius untuk melihat apa yang mungkin tidak kena atau kewajaran yang patut dipertimbangkan.  Fakulti bukan mengharapkan kerjasama puan untuk mengubah markah begitu sahaja seperti yang puan sangkakan, tetapi kerjasama untuk bersedia melihat semula penilaian kursus puan. 

 

  1.   Dalam surat pertama puan, puan menyatakan ‘saya berpendapat bahawa kumpulan pelajar kita miliki sekarang tidak mencapai tahap yang sewajarnya untuk diberi markah lulus yang diarahkan oleh mesyuarat fakulti’ (para. 3).  Puan tidak seharusnya mempunyai tanggapan umum begitu kepada pelajar-pelajar kita.  Bahagian terakhir petikan di atas merupakan “distortion of facts”, kerana mesyuarat fakulti tidak pernah mengarahkan puan supaya puan meluluskan semua pelajar yang gagal, kerana keputusan seperti itu berlawanan dengan etika akademik.  Saya mengucapkan terima kasih di atas prihatin puan terhadap kepentingan kualiti.  Ini juga hasrat fakulti.  Tetapi apa akan terjadi kalau kita menghasilkan 90% atau 98% pelajar yang gagal? Apakah kita tidak menzalimi mereka? Soal kualiti harus diberi perhatian secara berterusan dalam proses pembelajaran, bukan hanya diukur menerusi peperiksaan sahaja. 

 

  1.    Saya dan fakulti tidak berniat untuk ‘discredit’ atau menuduh puan kerana keputusan peperiksaan kursus puan.  Saya tidak menuduh puan tidak efisien atau ‘punish’ puan kerana kejujuran puan menerusi surat saya.  Saya hanya menyatakan oleh kerana hampir keseluruhan pelajar di bawah puan gagal dalam peperiksaan, mungkin hal ini ada kaitan dengan pendekatan dan keberkesanan pengajaran.  Sebagai Dekan, saya perlu sebutkan perkara ini supaya diambil perhatian.  Walau bagaimanapun, saya hanya menggunakan perkataan ‘mungkin’.  Barangkali betul atau salah.  Tetapi dalam konteks prestasi keputusan yang ada, adalah wajar puan melihat perkara ini dengan serius.  Kegagalan hampir 100% tentulah menimbulkan tanda tanya.  Sebagai manusia yang sifatnya tidak ‘perfect’ kita harus sentiasa muhasabah diri dan membuat penambahbaikan yang wajar, lebih-lebih lagi universiti kita amat mengambil berat mengenai pengajaran dan pembelajaran.  Walaupun mungkin ada faktor-faktor lain termasuk pelajar sendiri, bagi pihak kita, adalah wajar dibuat sesuatu.  Surat saya berkaitan perkara ini bukan merupakan hukuman terhadap puan lantaran kononnya puan tidak mengikut paksaan saya meluluskan pelajar yang gagal.  Soal paksaan tidak timbul sama sekali sebagaimana yang saya telah jelaskan. 

 

  1.    Lantaran salah faham di atas, puan telah meletakkan semua jawatan dan keahlian puan dalam semua jawatankuasa di fakulti dan INFAD.  Ini mendukacitakan fakulti.  Walau bagaimanapun saya mengucapkan terima kasih di atas semua sumbangan dan pengorbanan puan yang sungguh berkesan.  Saya berharap puan dapat menimbang semula perkara ini kerana tanggungjawab pensyarah bukan terhad kepada pengajaran semata-mata, tetapi juga semua aktiviti lain yang diarahkan oleh pengurusan fakulti dan universiti.  Sumbangan kepada fakulti dan universiti akan diambil kira dalam penilaian prestasi tahunan puan.

 

Saya menjawab surat ini atas kedudukan sebagai Dekan dan saya bersifat terbuka.  Jika terdapat perkara-perkara berbangkit yang lain atau kekeliruan, saya bersedia berbincang dengan puan.  Di atas perhatian puan, saya mengucapkan terima kasih.  

 

 

“BERILMU, BERDISPLIN DAN BERTAKWA”

 

Salam hormat,

 
(PROF. DR. HJ. ABDUL SAMAT MUSA)

Dekan

Fakulti Syariah dan Undang-undang

s.k.  YBhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin (Naib Canselor)

        YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda(Timbalan Naib Canselor Akademik&Antarabangsa)

        Puan Nik Salida Suhaila Nik Salleh (Timbalan Dekan FSU)

        En. Md. Yunus Abd. Aziz (Ketua Program SMFF)

        En. Muhammad Nizam Awang @ Ali (Ketua Program SMSU)

        Fail Pegawai

 

About these ads

Comments are closed.