Category Archives: CIMB biaya dana PTPTN RM1.5b-Berita Harian

CIMB biaya dana PTPTN RM1.5b-Berita Harian

CIMB biaya dana PTPTN RM1.5b

CIMB Group muncul sebagai institusi kewangan pertama tempatan menyediakan perkhidmatan pembiayaan komersial kepada tabung pendidikan negara, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi kemudahan pembiayaan Islam berjumlah RM1.5 bilion.

Kumpulan perbankan kedua terbesar negara itu dan PTPTN semalam memeterai perjanjian penyaluran kemudahan pinjaman itu untuk memenuhi sebahagian keperluan dana tabung pendidikan berkenaan yang diunjurkan mencecah RM4.2 bilion tahun ini.

Timbalan Ketua Eksekutif CIMB, Datuk Charon Wardini Mokhzani, berkata pemberian pinjaman itu adalah komitmen kumpulan terbabit dalam menyokong aspirasi kerajaan memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi disebabkan kekangan kewangan.

“Kemudahan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion akan digunakan PTPTN untuk membiayai pendidikan pelajar yang layak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan. Ia membantu mengurangkan kebergantungan terhadap dana kerajaan,” katanya berucap pada majlis itu di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman.

Pada majlis itu, CIMB Group diwakili Timbalan Ketua CIMB Islamic Bank, Muzaffar Hisham manakala PTPTN oleh Ketua Eksekutifnya, Yunos Abd Ghani.

Sementara itu, Muzaffar berkata, di peringkat korporat, kemudahan berkenaan tidak berisiko tinggi dari segi pembayaran balik kerana ia dijamin kerajaan.

Katanya, tempoh pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada CIMB adalah 10 tahun yang berdasarkan kadar pulangan yang lebih tinggi berbanding satu peratus yang dikenakan PTPTN kepada pelajar.

“Ia satu susunan yang tidak berisiko kepada CIMB kerana ia dijamin kerajaan. Ia adalah paling selamat,” katanya.

Mohamad Shahrum pula berkata, komitmen CIMB dalam perkhidmatan PTPTN bukan perkara baru kerana kumpulan perbankan itu juga adalah ejen perkhidmatan kutipan pinjaman PTPTN melalui kaunter dan perbankan internet sejak 2006.

“Jumlah bayaran balik terkumpul yang diterima menerusi CIMB adalah sebanyak RM232 juta membabitkan 715,000 transaksi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, CIMB juga adalah ejen pembukaan akaun dan penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Sehingga Mei 2009, jumlah deposit yang dikumpul menerusi CIMB adalah RM70.5 juta iaitu 28.7 peratus daripada keseluruhan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM245.5 juta,” katanya.

CIMB juga terbabit sebagai saluran pembayaran pendidikan PTPTN kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sementara itu, bagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), antara universiti terbabit antaranya adalah Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Perubatan Antarabangsa dan Universiti Terbuka Malaysia.

PTPTN ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) berkuat kuasa pada 1 Julai 1997 dan mula beroperasi pada 1 November tahun itu.