Category Archives: Isu plagiarisme di UPM -Dato Prof Dr Ir Radin Umar Radin Sohadi

Isu plagiarisme di UPM (Utusan Malaysia)-Dato Prof Dr Ir Radin Umar Radin Sohadi, KP JPT Kementerian Pengajian Tinggi

ARKIB : 23/09/2009 Isu plagiarisme di UPM SARANAN Datuk Salleh Majid yang dimuatkan pada halaman 10 Utusan Malaysia, Sabtu 19 September 2009 amat menarik dan ada kebenarannya. Namun hanya melibatkan amat segelintir warga IPT yang mempunyai lebih 24 ribu pegawai akademik di IPTA dan angka yang hampir sama di IPTS. Seperti Malaysia dilabel dunia sebagai pengeksport pengganas, disebab seorang dua mungkin keterlaluan, namun apa yang berlaku amat mengecewakan kita semua. Kita semua tidak boleh menerima budaya negatif tersebut dan harus menanganinya dengan segera. Bagi kes UPM, ia patut dilihat sebagai langkah positif pengurusan tertinggi UPM yang mengambil tindakan wajar berteraskan klausa yang terdapat dalam Akta 605 bagi Badan Berkanun. Ia telah memberi isyarat yang jelas kepada pensyarah, pelajar dan warga terpelajar menangani plagiarisme. Plagiat merupakan ‘dosa besar’ dalam dunia akademik dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandang serius dan amat prihatin dengan isu tersebut. Malah, pembudayaan akademik melalui agenda kritikal Akademia KPT adalah langkah positif dan lebih bermakna ke arah membudayakan budaya kecemerlangan di IPT. Ia perlu usaha berterusan dan sokongan semua pihak. Rata-rata ‘kebanjiran maklumat’ masa kini berlaku di mana-mana dengan wujudnya Internet dan pengaruh globalisasi. Kini maklumat dihujung jari. Adalah menjadi cabaran dan dugaan kepada pelajar, pensyarah dan orang ramai ialah untuk tidak mengambil jalan singkat dan sentiasa mengamalkan etika berilmu. Jujur kepada ilmu adalah salah satu hasil pembelajaran yang dengan sengaja diterapkan kepada pelajar dan para akademia di IPT. Malah ia adalah nilai universal yang perlu dipupuk dan dibudayakan semua. Penguasaan bahasa Inggeris (BI) yang dibangkitkan merupakan isu negara yang semua kita ketahui. Berdasarkan penilaian empirikal Jabatan Pengajian Tinggi terhadap atribut kemahiran insaniah pelajar (Generic Student Attributes-GSA) baru-baru ini, mendapati tahap penguasaan BI ketika bergraduat masihlah di peringkat sederhana. Ini disebabkan penguasaan BI pelajar di peringkat kemasukan yang masih rendah khususnya pelajar yang berasal dari kawasan pedalaman. Natijahnya penguasaan di peringkat keluaran masih perlu diperbaiki meskipun peningkatan ketara telah berlaku disebabkan penukaran kaedah pembelajaran dari pembelajaran berpusatkan pensyarah kepada pembelajaran berpusatkan pelajar yang menjadi arus perdana di IPT sekarang. Namun ia akan mengambil masa yang lama untuk mencapai ke tahap yang lebih tinggi. Pengantarabangsaan pengajian tinggi merupakan inisiatif yang giat dilakukan kerana ia mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dalam bahasa Inggeris. Cadangan untuk overhaul universiti amatlah dialu-alukan. Malah transformasi pengajian tinggi sedang giat berlaku sekarang dengan wujudnya Plan Strategik Pengajian Tinggi Negara PSPTN. Tujuh teras strategik dan 21 Agenda Kritikal telah dibangun dan dilaksanakan. Ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti Pendidikan Negara melalui pengajaran dan pembelajaran berkualiti serta penyelidikan yang membawa impak kepada ekonomi berteraskan inovasi. Asas kepada kejayaan PSPTN adalah pembudayaan budaya kecemerlangan di IPT khususnya di kalangan pelajar dan akademia. KPI yang dibangunkan adalah berteraskan piawaian antarabangsa dan kini telah disejajarkan dengan NKRA. Petunjuk prestasi kualiti graduan adalah skor GSA yang memenuhi piawaian minimum diakhir pengajian, kebolehdapatan kerja dan indeks kepuasan majikan. Malah, ia akan menjadi rating system SETARA yang akan diumumkan awal 2010 nanti. Ia juga menjadi KPI setiap Naib Canselor IPT yang dilantik. Kementerian juga sedang di peringkat akhir membangunkan satu lagi instrumen untuk mengukur kesarjanaan pensyarah. Indeks kesarjanaan ini akan melibatkan aspek pembudayaan ilmu, kecemerlangan akademik, impak mereka kepada mesyarakat dan negara serta kebolehlihatan mereka di peringkat antarabangsa. Ia merupakan pemeriksaan kesihatan yang objektif bagi menentukan sama ada IPT berada di landasan yang betul. Ini bermakna usaha gigih perlu dilakukan oleh IPT supaya budaya ilmu, kesarjanaan dan keintelektualan menyerlah di semua peringkat. KPT mengambil pendekatan mengurus outcomes dan memberi ruang, autonomi dan flexibility kepada IPT untuk melaksanakannya secara inovatif. Ringkasnya KPT juga prihatin dengan apa yang utarakan dan telah menjadikannya agenda perdana mentransformasi IPT di negara ini. Keseimbangan dari keperluan memberi akses kepada pengajian tinggi dan keperluan mempastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan adalah menjadi tonggak utama KPT di samping membudayakan budaya kecemerlangan, budaya cinta dan jujur kepada ilmu di kalangan pensyarah dan pelajar. Di samping itu kesinambungan sistem pembelajaran IPT dengan sistem pendidikan sekolah dititikberatkan. Penglibatan dan komitmen semua pihak dalam meningkatkan keterampilan keibubapaan (parenting), pendidikan awal kanak-kanak (early childhood education), sekolah dan IPT perlu diintegrasikan. Masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya menyerahkan kepada kerajaan. Pembudayaan tersebut perlu dilihat secara holistik bukan secara silo atau melibatkan satu satu agensi sahaja.