IPTS bankrap pelajar cuma kejar untung

IPTS bankrap pelajar cuma kejar untung

 

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID dan JUNHAIRI ALYASA
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Ada seorang pelajar pun cukup.

Begitulah situasi terdesak sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu kota yang terpaksa meneruskan sesi pembelajaran walaupun hanya terdapat seorang pelajar datang mendaftar pada setiap kursus yang ditawarkan.

Lebih teruk lagi, pengambilan pelajar di kolej itu terpaksa dibuat pada setiap bulan bagi mencukupkan bilangan pelajar sebelum sesuatu kursus yang ditawarkan diteruskan.

Meskipun kolej tersebut mempunyai pautan dengan sembilan buah IPTS di United Kingdom (UK) bagi membolehkan pelajarnya melanjutkan pengajian ke negara tersebut selepas tamat pengajian peringkat diploma namun keadaan kolej itu bagaikan ‘hidup segan mati tidak mahu’.

Malah, kolej terbabit juga dikatakan menyediakan pensyarah berpengalaman, tetapi pakej itu masih gagal menarik perhatian pelajar.

Selain itu, kolej berkenaan turut menyediakan enam jurusan bertaraf diploma iaitu pentadbiran perniagaan, pengurusan hotel dan pelancongan, pengurusan sumber manusia, pengurusan perniagaan dan teknologi maklumat, pengurusan kewangan serta pemasaran yang mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Kolej itu juga menawarkan sembilan program peringkat sijil daripada Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) serta kursus bertaraf profesional yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Keadaan fizikal di kolej itu kelihatan tidak terjaga dan keadaan itu dikatakan menjadi punca ia gagal menarik minat pelajar untuk mengikuti pengajian di situ.

Selain lokasi yang tidak strategik kerana terletak berhampiran stesen bas serta rumah kedai, keluasan dan persekitaran kolej itu juga tidak layak digelar sebagai institusi pendidikan.

Comments are closed.