kosmo.com.my:4,574 pelajar tersalah tawaran USM masuk IPTA lain

4,574 pelajar tersalah tawaran USM masuk IPTA lain

 

Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

PUTRAJAYA – Nasib 4,574 orang pelajar yang tersalah diberi tawaran oleh Universiti Sains Malaysia (USM) ekoran kesilapan teknikal akhirnya ditawarkan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain.

Malah baki pelajar terbabit berjumlah 150 orang yang tidak memohon ke mana-mana universiti kecuali USM akan dipertimbangkan untuk diserapkan di universiti itu selepas mengemukakan rayuan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, pihaknya yakin kesemua pelajar terbabit mendapat tempat di universiti berkenaan berdasarkan kepada kekosongan yang ada.

“Sudah pasti ada pelajar yang akan menolak tawaran mereka dan ini membolehkan tempat disediakan kepada 150 pelajar ini. Lagi pun calon-calon ini pada dasarnya sudah berada dalam kelompok terpilih.

“Disebabkan mereka tidak memohon kepada UPU (Unit Pemilihan Universiti) di Bahagian Pengurusan Kemasukan Kementerian Pengajian Tinggi, kami terpaksa hantar permohonan mereka semula kepada USM untuk diuruskan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kesilapan teknikal itu berlaku apabila kakitangan USM memasukkan semua senarai nama pelajar yang diterima dan juga ditolak iaitu kira-kira 8,000 orang di laman web universiti berkenaan sedangkan jumlah sebenar permohonan yang diluluskan adalah 3,599 orang.

Comments are closed.