Respons: Reputasi cemerlang USM harus dipertahan

Respons: Reputasi cemerlang USM harus dipertahan 5 Jun 2009

Oleh Zainor Said
zaino@bharian.com.my

KESILAPAN dalam pengumuman keputusan kemasukan ke Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini bukan saja menyebabkan ratusan pelajar serta ibu bapa mereka berasa hampa dan kecewa, malah ia memberi ruang kepada pihak tertentu mempersoal berkemampuan universiti berkenaan dalam mengendalikan sendiri kemasukan pelajar.Barangkali insiden itu adalah kejadian pertama dalam sejarah kemasukan pelajar ke universiti yang mana senarai keputusan calon yang sudah dihebahkan kepada umum dipinda pada saat akhir.Keadaan itu berlaku apabila USM tersalah memaparkan senarai nama 8,173 calon menerusi laman webnya yang mempunyai kriteria kelayakan minimum untuk mengikuti program pengajian di USM, sedangkan jumlah sebenar yang sepatutnya diterima hanya 3,599 calon.Mujurlah kesilapan teknikal yang didakwa USM dapat dikesan awal, lantas membuat pembetulan dalam senarai calon yang dipaparkan pada 29 Mei lalu dan dipaparkan kembali pada keesokan hari. Namun kesilapan itu sudah cukup menyebabkan sebilangan pelajar yang sempat menyemaknya pada senarai awal menjadi bingung dan keliru, apabila semakan kali kedua mendapati nama mereka telah dikeluarkan.

Kesilapan seperti itu tidak sepatutnya berlaku walaupun atas alasan ia adalah kali pertama USM mengendalikan sendiri pemilihan pelajar selepas mendapat mandat autonomi sesuai dengan status Universiti Apex. USM mempunyai waktu yang cukup panjang membuat persediaan yang perlu untuk menerima pelajar kumpulan pertama selepas ia diangkat menjadi Universiti Apex (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan).

Diisytiharkan sebagai Universiti Apex pertama negara pada September 2008, USM mengetepikan tiga lagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang disenarai pendek termasuk Universiti Malaya (UM) yang dianggap calon lebih favourite, selain Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) iaitu Multimedia University (MMU).

Program Apex diperkenalkan untuk melonjak pendidikan tinggi di negara ini ke tahap cemerlang dengan harapan akan lahir sekurang-kurangnya sebuah universiti yang layak tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik di dunia dalam tempoh terdekat.

Pemilihan sebagai Universiti Apex membolehkan USM mendapat beberapa keistimewaan antaranya diberi kuasa autonomi termasuk dalam soal pemilihan pelajar berdasarkan kepada merit.

Kita bukan berniat mempertikai kewibawaan USM yang diiktiraf sebagai Universiti Apex pertama negara, malah adalah tidak adil kita menghukum USM sebagai tidak cekap hanya disebabkan satu kesilapan kecil sedemikian. Namun, sebagai Universiti Apex, USM harus berhati-hati dalam setiap urusan supaya tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak mempertikai kewibawaan mereka dengan mengelakkan kesilapan yang berpunca daripada kecuaian pihak tertentu.

Bayangkan apa yang akan berlaku jika kesilapan itu membabitkan pelajar luar negara. Apakah dengan mudah mereka dapat menerima keputusan yang pada awalnya diumumkan berjaya tetapi sehari kemudian mendapati nama mereka digugurkan.

Kejadian itu bukan saja akan menjejaskan reputasi cemerlang USM, malah imej Kementerian Pengajian Tinggi serta nama baik negara akan turut tercalar.

Imej serta pandangan masyarakat terhadap USM begitu tinggi selepas ia diisytihar sebagai Universiti Apex dan pastinya USM menjadi pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian. Kesilapan yang berlaku, sudah tentu sedikit sebanyak menjejaskan imej USM di mata masyarakat dan tidak mustahil ada pihak memperlekeh kewibawaannya sebagai Universiti Apex.

Dalam hal ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam reaksi awalnya turut memandang serius dengan apa yang berlaku, sekali gus mengarahkan satu jawatankuasa khas dibentuk untuk menyiasat segera punca kejadian.

Kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya kesilapan itu berpunca daripada kecuaian pihak tertentu dan mereka harus bertanggungjawab memperbaiki segera kelemahan bagi memastikan kesilapan tidak berulang.

Kesilapan sedemikian dapat dielak jika setiap pegawai yang diamanahkan melaksanakannya dengan berhati-hati dan menyemak senarai nama dengan terperinci sebelum memaparkannya kepada umum.

Setiap kakitangan tidak sepatutnya mengambil mudah dalam menjalankan tanggungjawab kerana mereka berurusan dengan pihak awam, lebih-lebih lagi USM menjadi perhatian masyarakat terutama pelajar, sejak ia dinaikkan ke status Apex.

Kemasukan pelajar ke IPTA kebelakangan ini sering menimbulkan pelbagai isu berikutan persaingan sengit untuk mendapat tempat di IPTA. Kadangkala isu pendidikan mencetuskan polemik berpanjangan terutama apabila nama pelajar cemerlang tercicir dan gagal mendapat tempat di mana-mana IPTA.

Demi memelihara reputasi cemerlang USM sebagai Universiti Apex serta Kementerian Pengajian Tinggi yang merestui pemilihan USM sebagai Universiti Apex, kita harap tidak akan berlaku lagi sebarang kesilapan selepas ini.

Mungkin juga kesilapan kali ini mempunyai hikmah tersembunyi tetapi yang pasti insiden itu harus memberi pengajaran berguna kepada USM supaya tidak mengambil mudah dalam setiap urusan terutama membabitkan pihak awam dan pelanggannya.

Comments are closed.