Pendidikan Global: Akreditasi ASIC

Pendidikan Global: Akreditasi ASIC

Oleh Norliza Abdullah

LUCT dapat pengiktirafan globalACCREDITATION Service For International Colleges (ASIC), agensi perkhidmatan akreditasi kolej antarabangsa mengiktiraf tiga kampus Limkokwing University Creative Technology (LUCT) sebagai kolej berprestij atau Premier College bersandarkan kecemerlangan program ditawarkan.Agensi berpangkalan di United Kingdom itu turut mengiktiraf lima universiti dengan status sama iaitu St Peter’s College, Kolej Bersekutu University of Oxford, Kesington College of Business dan London School of Commerce.

Ketua Eksekutif ASIC, Maurice Dimmock, berkata pengiktirafan kampus LUCT di Botswana, Kemboja dan Kuala Lumpur berasaskan pelbagai kriteria antaranya, kualiti program bertaraf global dengan mempunyai keperluan industri setempat serta antarabangsa.

Begitu juga dengan kebajikan pelajar, beliau berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran disampaikan lebih inovatif dan kreatif menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sesuai perkembangan semasa.

“Kriteria lain termasuk persekitaran pembelajaran kondusif, selesa dan selamat, pengurusan berkesan, selain mempunyai hubungan baik dengan agensi kerajaan dan badan berkaitan dalam menyediakan latihan industri kepada pelajar.

“Sebelum ini, kampus LUCT di London diiktiraf sebagai Premier College berdasarkan kualiti program ditawarkan memenuhi keperluan industri setanding kolej antarabangsa lain di negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan akreditasi tiga kampus LUCT kepada Presidennya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Lim Kok Wing di Cyberjaya, baru-baru ini.

Hadir sama, agensi rundingan pendidikan NCFE dari New Casastle Upon Tyne diwakili Ketua Eksekutifnya, David Grailey dan Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Alasdair Downes.

Sebagai agensi akreditasi diiktiraf kerajaan, Maurice berkata, proses ini perlu dilaksanakan secara telus dan memenuhi keperluan asas pengiktirafan antaranya, kualiti pengajaran yang konsisten.

Beliau berkata, perkhidmatan pendidikan yang dibawa dari satu negara ke negara lain perlu dilaksanakan secara berkesan dengan mengambil kira kualiti program, tenaga pengajar berkelayakan, mutu pengajian memenuhi keperluan semasa dan maklum balas pelajar mengenai kebajikan sepanjang tempoh pengajian.

Sepanjang tempoh kunjungannya ke negara ini, beliau berkata, pihaknya menerima permohonan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) awam yang berminat mendapatkan khidmat nasihat mengenai usaha mengekalkan kecemerlangan pendidikannya yang diperoleh selama ini.

“Kami bersedia menerima mana-mana permohonan daripada IPT swasta yang berminat mendapatkan perkhidmatan.

“Sebelum ini, ASIC menyediakan khidmat rundingan pendidikan kepada sebuah IPT yang diusahakan pihak swasta di Singapura,” katanya.

Comments are closed.