Syarat autonomi IPTA diperketat

Syarat autonomi IPTA diperketat

Oleh Azida Shaharuddin
azida@nstp.com.my

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan mengambil sikap lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan permohonan autonomi universiti awam berikutan kejadian kesilapan Universiti Sains Malaysia (USM) mengumumkan senarai akhir kemasukan pelajar ke sesi 2009/2010, baru-baru ini.Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kejadian yang disifatkannya tidak wajar berlaku itu akan diperhalusi supaya tidak berulang sebelum kuasa autonomi itu diperluaskan kepada universiti lain seperti universiti penyelidikanKatanya, pihaknya menyedari tindakan universiti yang sentiasa mahu autonomi merangkumi pelbagai bidang dan kementerian mengambil keputusan dengan memberikan keistimewaan itu kepada USM dari segi pengambilan pelajar.“Status USM sebagai universiti Apex yang memiliki autonomi dalam pengambilan pelajar adalah satu percubaan supaya kuasa autonomi ini dapat diperluaskan kepada universiti lain seperti universiti penyelidikan.

“Bagaimanapun, dengan terjadinya insiden ini, mungkin melambatkan atau membuatkan kerajaan lebih berhati-hati menerima tuntutan autonomi dalam pelbagai bidang yang dikemukakan pihak universiti pada masa depan, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Gerak Kemas anjuran Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) Zon Scientex di Taman Scientex di sini semalam.

Mohamed Khaled mengulas berhubung kesilapan dalam pengumuman senarai akhir kemasukan pelajar ke USM bagi sesi 2009/2010 apabila menyenaraikan nama semua pelajar yang layak iaitu kira-kira 8,173 calon sedangkan jumlah pengambilan sebenar 3,599 orang saja.

Kesilapan yang dilakukan menyebabkan lebih 4,574 calon yang tidak ditawarkan juga terpapar dalam laman web USM dan kesilapan hanya disedari selepas lebih 1,300 calon direkodkan menerima tawaran itu.

Comments are closed.