Pendidikan Global: Pengajian Amerika

Pendidikan Global: Pengajian Amerika

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

Kamera UKM jadi rujukan pendidikan, penyelidikan pelajar antarabangsaSEBAGAI sebuah kuasa besar, sebarang perkembangan berlaku di Amerika Syarikat pasti memberi kesan hebat hingga menyebabkan berlaku perubahan pola politik, ekonomi dan sosial di kebanyakan negara di dunia.

Menyedari wujudnya kesan domino terhadap dunia jika berlaku sebarang pergolakan di Amerika Syarikat, penubuhan pusat kajian mengenainya wajar diwujudkan supaya masyarakat setempat mendapat maklumat terperinci.

Kajian mengenai kesan itu dilaksanakan menerusi penubuhan Pusat Kajian Amerika (Kamera) Institut Kajian Oksidental (Ikon) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilancarkan baru-baru ini.

Penubuhannya sejajar dengan perubahan era globalisasi yang menuntut usaha penyelidikan berterusan mengenai isu semasa membabitkan negara berkenaan untuk dikongsi bersama.

Tambahan pula perubahan politik, ekonomi dan sosial Amerika Syarikat semakin menarik perhatian dunia berikutan Presiden Barrack Hussein Obama memegang teraju pentadbiran kuasa besar itu.

Banyak dasar baru yang bakal dilaksanakan presiden pertama berkulit hitam itu dan ia dilihat pemerhati akan memberi kesan terus kepada geopolitik antarabangsa.

Pengumpulan maklumat terperinci dan adil penting bagi memastikan umum mendapat pandangan jelas mengenai perkembangan semasa.

Ketua Kamera, Prof Dr KS Nathan, berkata pusat itu memberi peluang pengkaji menyalurkan maklumat dan pengetahuan serta berkongsi pandangan dengan masyarakat mengenai faktor persekitaran serta langkah awal perlu diambil dalam menangani isu berkaitan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 pelajar peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) dijangka menyertai program penyelidikan di pusat berkenaan.

Berdepan dengan dunia tanpa sempadan, katanya, ia menuntut penyediaan maklumat pelbagai bidang dengan tepat dan jelas berdasarkan situasi semasa.

Beliau menjelaskan, program pengajian Amerika itu juga boleh dijadikan rujukan untuk mendapatkan kemudahan pendidikan dan penyelidikan bertaraf global bagi memenuhi keperluan semasa pelajar antarabangsa.

“Perkhidmatan ditawarkan UKM sejajar dengan fungsinya sebagai institusi penyelidikan yang menekankan aspek kajian berterusan dalam menjana teknologi dan penemuan baru bidang sains mahupun sains sosial.

“Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah penyelidikan, penerbitan, persidangan dan seminar serta pengajaran.

“Program ilmiah ini akan dijayakan secara kerjasama antara institusi dan industri, selain perkongsian pengetahuan dan pengalaman dengan ahli perniagaan, profesional, media dan diplomat kedua-dua negara,” katanya.

Menerusi pusat kajian itu juga, Nathan berkata, pihaknya turut mengadakan pertukaran penyelidik dan pelajar bertujuan berkongsi maklumat, kepakaran serta pengetahuan yang dilihat lebih berkesan dalam meningkatkan pemahaman setiap isu.

Hubungan dua hala itu, katanya, memberi peluang kedua-dua pihak meningkatkan kerjasama yang boleh memberi kebaikan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, selain menjayakan penyelidikan bersama.

Comments are closed.