UPM, SRI usaha komersialkan hasil penyelidikan

UPM, SRI usaha komersialkan hasil penyelidikan

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama dengan institut pengkomersialan terkemuka, Standord Research Institute (SRI) International, California, Amerika Syarikat bagi mengantarabangsakan hasil penyelidikan dan inovasi universiti itu menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, baru-baru ini.Kerjasama itu bakal diterajui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UPM dengan memfokuskan usaha menggerakkan kegiatan teknologi dan produk hasil penyelidikan universiti di peringkat global.MoU itu disempurnakan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha Raja Abdullah, manakala SRI International diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Curtis R Carlson sambil disaksikan Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UPM, Prof Datuk Dr Mohamed Shariff Mohamed Din serta Naib Presiden, Pembangunan Strategik Perniagaan SRI International, Stephen Ciesinki.Kandungan MoU antara lain memfokuskan latihan dan perkhidmatan menerusi penganjuran Program SRI’s Five Discipline of Innovation merangkumi lima disiplin dalam aktiviti pengkomersialan, sekali gus membantu penyelidik mempercepatkan proses pengkomersilan produk serta teknologi baru penyelidikan masing-masing.

Mekanisme terbabit ialah Working on Important vs Interesting Needs, Creating Customer Value, Developing Innovation Champions, Building Innovations Teams dan Insuring Organizational Alignment.

Selain itu, ia membolehkan UPM mengaplikasikan pendekatan SRI International dalam perkongsian inovasi dan ciptaan bernilai, selain melaksanakan Program Kolaborasi Inovasi di UPM.

Nik Mustapha berkata, kerjasama itu diharap menepati matlamat disasarkan, sekali gus mewujudkan integrasi dalam penjanaan aktiviti pengkomersialan produk dan teknologi universiti yang memenuhi keperluan pasaran.

“Sebagai permulaan, SRI International akan memilih 25 produk berpotensi untuk diketengahkan menerusi program berkenaan termasuk menyediakan pelan perniagaan, selain menjadikan produk itu lebih menarik.

“Daripada jumlah itu, tiga produk terbaik akan dikomersialkan dengan mencari rakan pasaran strategik di California,” katanya.

Beliau berkata, UPM menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menggunakan kepakaran SRI International berdasarkan keyakinan institusi itu memadankan produk universiti menerusi perkongsian modal di peringkat antarabangsa.

Katanya, SRI International juga akan membantu penyelidik UPM menjalin kerjasama dengan pakar teknikal dan penguasaan pasaran yang sesuai di syarikatnya, sekali gus meningkat dan mempercepatkan proses pengkomersialan serta pemasaran inovasi baru melalui pelesenan teknologi.

Comments are closed.