Petanda tak boleh tidur-pelajar Sarjana Sains Kimia UKM ditemui mati

Petanda tak boleh tidur

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my

BANGI: Seorang pelajar Sarjana Sains Kimia yang mengadu tidak boleh tidur kepada rakannya beberapa hari lalu ditemui mati, dipercayai terjatuh dari tingkat empat biliknya di Kolej Pendeta Zaba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Mayat Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, ditemui seorang pencuci bangunan kira-kira jam 7 pagi dalam keadaan mengiring dengan sedikit kesan darah pada hidung dan mulutnya walaupun terjatuh pada ketinggian lebih 10 meter.

Rakannya yang enggan dikenali, berkata mangsa berkelakuan aneh sejak beberapa hari lalu kerana mendakwa tidak dapat tidur.

“Biarpun didesak, arwah langsung tidak memberitahu masalah dihadapinya. Jika hendak dikatakan arwah mengalami masalah percintaan, dia sememangnya tidak bercinta.

“Saya cukup yakin kerana sudah mengenalinya lebih dua tahun lalu,” katanya .

Menurutnya, dua hari lalu, arwah memberitahu sudah mendaftar untuk mengikuti kelas agama di Serdang kerana mendakwa ingin mendalami ajaran Islam.

“Inilah hasratnya yang belum tercapai,” katanya.

Difahamkan, mangsa meninggalkan biliknya kira-kira jam 4 pagi dengan memakai kemeja-T dan berkain batik tanpa memaklumkan kepada teman sebiliknya itu.

“Pada mulanya saya sangkakan arwah hendak ke tandas, namun tidak pulang sehingga jam 5 pagi. Oleh itu, saya menganggap arwah ke bilik rakan lain untuk berbincang mengenai tugasan.

“Saya hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 7 pagi selepas penghuni lain heboh menceritakan mengenai penemuan mayat Farihan,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut melihat seluruh tubuh Farihan sudah pucat dan pada bahagian hidung serta mulutnya terdapat sedikit darah.

Mayatnya dihantar ke Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Difahamkan, seorang daripada rakan baik Farihan menghubungi ahli keluarganya untuk memberitahu kejadian itu.

Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Padang Bongor, Pengkalan Chepa, Kelantan, untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Kita akan membuka kes ini mengikut Laporan Kematian Mengejut sementara menanti laporan lengkap bedah siasat.

“Sekiranya laporan bedah siasat menunjukkan terdapat unsur jenayah, kita akan membuka semula kertas siasatan,” katanya.

Comments are closed.