Penghuni kolej ketakutan-Harian Metro

Penghuni kolej ketakutan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

BANGI: Misteri mengenai punca sebenar kematian seorang siswi ijazah sarjana jurusan Sains Kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, yang ditemui dalam keadaan mengiring di tempat letak kenderaan di Kolej Pendeta Zaba, kelmarin dipercayai ‘terjatuh’ masih menghantui semua pihak.

Tinjauan yang dilakukan semula Harian Metro di tempat kejadian mendapati kebanyakan pelajar terutama penghuni kolej terbabit berada dalam ketakutan disebabkan mitos yang tersebar kononnya mangsa terjatuh dari tingkat empat kediaman berkenaan gara-gara dikejar ‘lembaga hitam’.

Tidak kurang juga pelajar yang mendakwa mangsa membunuh diri akibat mengalami tekanan dalam menamatkan pengajiannya. Bagaimanapun, semua anggapan dan khabar angin itu belum dapat disahkan.

Semalam, Harian Metro melaporkan penemuan mayat seorang siswi, Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, lengkap berpakaian dalam keadaan mengiring oleh pencuci kolej terbabit dipercayai terjatuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa dikatakan terjatuh melalui tingkap biliknya pada ketinggian lebih 10 meter menyebabkannya mati di tempat kejadian.

Rakan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Rosliza, 20-an, berkata sejak mendiami kolej kediaman itu hampir dua tahun lalu, pelbagai cerita mengenai gangguan makhluk halus seperti lembaga hitam tersebar.

“Namun, saya dan rakan sebilik tidak mengendahkannya kerana sehingga kini masih belum ada individu yang terserempak atau diganggu lembaga berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Rosliza mendakwa ketika kejadian dia dan rakan sebiliknya terdengar seperti orang melarikan diri kerana dikejar di kaki lima, disusuli satu jeritan kuat kira-kira jam 4.30 pagi.

“Ketika itu, kami berada di dalam bilik dan sedang mengulang kaji pelajaran. Disebabkan takut, kami mengunci bilik dan meneruskan ulangkaji biarpun tidak dapat memberikan tumpuan kerana ketakutan selain tertanya-tanya apakah kejadian sebenar yang berlaku.

“Kira-kira 30 minit kemudian, saya dan rakan sebilik membuka pintu bagi memeriksa kaki lima, namun tidak menemui apa-apa,” katanya yang tinggal berhampiran bilik arwah Wan Siti Farihan.

Menurutnya, dia hanya menyerdari mengenai penemuan mayat arwah Farihan pada jam 7 pagi ketika bersiap untuk ke kelas.

“Saya bergegas turun selepas dimaklumkan penghuni lain melihat mayat Farihan berada di kawasan berkenaan.

“Sejak itu, kami ketakutan dan kebanyakan penghuni yang tinggal di tingkat yang sama dengan arwah kini melakukan semua aktiviti secara berkumpulan termasuk mandi kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak, ketika dihubungi, berkata pihaknya bercadang memasang jeriji besi di semua blok asrama perempuan terutama pada tingkat tiga dan ke atas sebagai langkah berjaga-jaga.

‘Bagaimanapun, kita akan berbincang terlebih dulu dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat supaya cadangan pemasangan alat itu tidak mengabaikan mana-mana aspek keselamatan sedia ada.

“Kita juga mahu mengelak sebarang kontroversi pada masa akan datang sekiranya alat itu punca penghuni asrama gagal diselamatkan (jika berlaku kebakaran).

“Oleh itu, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan membabitkan pengurus kolej dan pengawal keselamatan bagi membincangkan mengenai masalah dan mengesan punca kematian arwah Farihan yang pertama kali berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, berkata berdasarkan laporan bedah siasat yang dikeluarkan pihak Pusat Perubatan UKM (PPUKM), menunjukkan mangsa maut kerana mengalami kecederaan serius pada bahagian dalaman tubuhnya disebabkan terjatuh.

“Tulang rusuk kanan yang patah dipercayai punca utama menyebabkan kematiannya. Oleh itu, kita akan kekalkan kes ini di bawah siasatan laporan kematian mengejut (SDR),” katanya

Comments are closed.