Pensyarah minta habuan seks, wang ditahan SPRM-Berita Harian

Pensyarah minta habuan seks, wang ditahan SPRM

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my

CYBERJAYA: Seorang pensyarah warga asing di sebuah universiti swasta bertaraf antarabangsa di sini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta rasuah seks dan wang tunai bagi meluluskan peperiksaan pelajarnya.

Pensyarah lelaki berusia awal 50-an itu ditahan, kira-kira jam 5 petang semalam, selepas SPRM menerima aduan daripada seorang pelajar perempuan universiti berkenaan.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika dihubungi Berita Harian malam tadi, mengesahkan penahanan pensyarah terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.

“Perkara berkenaan masih dalam siasatan dan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat selepas kes itu selesai disiasat,” katanya.

Sumber memberitahu Berita Harian, selain habuan seks, pensyarah berkenaan turut mengambil sogokan berjumlah RM800 daripada pelajar terbabit sebagai ganjaran untuk meluluskan peperiksaan yang didudukinya.

Suruhanjaya itu juga sedang menyiasat kemungkinan pensyarah itu pernah meminta rasuah yang sama daripada pelajar lain sebelum ini.

Comments are closed.