Siswi UKM maut dikejar ‘lembaga’-bharian.com.my


Siswi UKM maut dikejar ‘lembaga’

Oleh Petah Wazzan Iskandar Mokhtar
wazzan@bharian.com.my

KAJANG: Seorang siswi sarjana sains kimia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, ditemui mati di kawasan letak kenderaan Blok C, Kolej Kediaman Pendeta Za’ba awal pagi semalam, dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya di tingkat empat bangunan itu selepas dikatakan dikejar satu lembaga.

Mayat Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, yang lengkap berpakaian kemeja T kuning dan berkain batik ditemui oleh seorang tukang sapu di depan pintu laluan utama kolej itu, dalam keadaan mengiring dan muka lebam serta mulut berdarah, kira-kira jam 7 pagi.

Sehingga kini, polis masih menyiasat punca kejadian, tetapi cerita mengenai gangguan lembaga itu kini tersebar dan menjadi perbualan ramai pelajar di kolej berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood, bagaimanapun berkata tiada bukti atau saksi yang boleh mengesahkan mangsa terjatuh selepas dikejar lembaga itu.

“Beberapa pelajar di kolej itu, termasuk rakan sebilik mangsa yang disoal siasat polis mengaku tidak mengetahui mengenai kejadian itu kerana mereka tidur.

“Bagaimanapun, kita akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut, termasuk kemungkinan mangsa menghadapi tekanan,” katanya ketika dihubungi.

Shakaruddin berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat pelajar tahun satu itu.

Mangsa yang bekerja sambilan sebagai pembantu penyelidik di UKM, dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya beberapa jam sebelum ditemui berdasarkan keadaan mayatnya yang masih berdarah.

Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan UKM (PPUKM) untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di kampungnya di Jalan Long Yunus, Padang Bongor, Pangkalan Chepa, Kelantan.

Shakaruddin berkata, hasil bedah siasat mendapati tulang rusuk kiri mangsa patah dan menyebabkan pendarahan dalaman.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah ketika meluangkan masa setengah jam menemui keluarga mangsa di PPUKM, berkata pihaknya bersimpati dengan kejadian itu.

“Kita akan melihat hasil bedah siasat sebelum sebarang keputusan dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, beberapa hari sebelum kejadian itu, Wan Siti Farihan berkelakuan pelik, termasuk mengikuti kelas agama di Serdang dan sering mengaji, berzikir serta melakukan solat sunat.

“Farihan juga selalu berjaga malam kerana mendakwa tidak dapat tidur. Saya yang kenal dengan dia sejak zaman sekolah rendah, percaya ia tiada kaitan dengan percintaan kerana dia tidak mempunyai teman lelaki.

“Tiga jam sebelum kejadian, Farihan bangun dan memaklumkan ingin ke tandas. Saya tidak syak sesuatu yang dan terus tidur sebelum terkejut apabila dimaklumkan Farihan ditemui terbaring di kawasan letak kenderaan ketika hendak menunaikan solat subuh,” katanya.

Comments are closed.