Kemasukan pelajar asing jana lebih RM4b setahun-berita harian

Kemasukan pelajar asing jana lebih RM4b setahun

KUALA LUMPUR: Kemasukan pelajar asing yang mencecah kira-kira 70,000 orang di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, menyumbangkan lebih RM4 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil kajian terhadap IPT swasta yang menerima kemasukan sebahagian besar pelajar asing di negara ini berbanding universiti awam.

Selain yuran pengajian, beliau berkata, secara keseluruhan pelajar di IPT awam dan swasta menjana pendapatan lebih RM1.5 bilion setahun kepada negara melalui pelbagai sektor seperti pengangkutan, makanan, hiburan, kemudahan serta penjagaan kesihatan.

“Sehingga kini, bidang pengajian tinggi adalah penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia. Setakat Ogos tahun lalu, seramai 921,548 penuntut, termasuk kira-kira 70,000 pelajar asing, memasuki IPT awam dan swasta serta politeknik di seluruh negara.

“Justeru bagi menarik kemasukan lebih ramai pelajar dalam pasaran pengajian tinggi yang semakin kompetitif, Malaysia berusaha mempromosi negara ini sebagai hab pendidikan serantau. Bukan itu saja, malah IPT swasta tempatan turut meneroka ke luar negara untuk pengukuhan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Membangunkan Pengajian Tinggi Sebagai Pemangkin Utama Daya Saing Malaysia pada majlis Persidangan Pengajian Tinggi Kebangsaan 2009 di sini, semalam.

Mengulas lanjut pada sidang media, Mohamed Khaled berkata, sumbangan sektor pengajian tinggi amat penting untuk menjayakan usaha mentransformasi ekonomi negara kepada ekonomi berasaskan inovasi.

Comments are closed.