UKM tidak guna khidmat bomoh-bharian.com.my

UKM tidak guna khidmat bomoh

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my

Program doa selamat pulih semangat pelajar

KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak akan menggunakan khidmat bomoh berikutan dakwaan gangguan satu lembaga dalam kejadian kematian seorang pelajar akibat terjatuh dari tingkat empat asrama, sebaliknya mengadakan program lain yang sesuai untuk memulihkan semangat mereka.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Razak, berkata pengurusan universiti akan menguruskannya sendiri dengan mengatur pelbagai program seperti doa selamat.

“Saya tak fikir bantuan bomoh atau pawang diperlukan bagi memulihkan kawasan kediaman terutama tempat kejadian kerana tiada yang perlu dibimbangkan setakat ini.

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dan apa yang penting, pihak universiti akan mengadakan kenduri doa selamat untuk arwah atau apa-apa program yang mampu memulihkan semangat pelajar,” katanya semalam.

Selasa lalu, siswi Sarjana Sains Kimia UKM, Wan Siti Farihan Mohamed Hassan, 23, ditemui mati di kawasan letak kenderaan Blok C, Kolej Kediaman Pendeta Za’ba, dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya selepas dikatakan dikejar satu lembaga.

Mayat Siti yang lengkap berpakaian kemeja T kuning dan berkain batik ditemui seorang tukang sapu di depan pintu laluan utama kolej pada jam 7 pagi.

Dr Mohamed berkata, tinjauannya semalam, semua pelajar terutama rakan karib serta teman sebilik mangsa masih bersedih dan akan berusaha mengatasi masalah mereka bagi mengelakkan gangguan tumpuan pembelajaran.

Sementara itu, pengamal paranormal yang dikenali sebagai Mohamad, 50-an dari Johor yang menghubungi Berita Harian, berkata beliau sedia untuk membantu ‘membersihkan’ kawasan asrama berkenaan dengan kaedahnya tersendiri.

Katanya, setakat ini beliau bersama ketuanya berjaya menyembuhkan lebih 100 mangsa yang mengalami pelbagai masalah dalaman termasuk membabitkan makhluk halus.

“Kami bukan bomoh atau pawang. Kami juga bukan jenis yang suka mengambil kesempatan dengan menipu wang orang ramai. Namun, setiap usaha yang pernah dilakukan sebelum ini memang berhasil dengan kuasa tuhan.

“Jadi tidak salah jika kami mahu membantu pihak universiti memulihkan kawasan itu daripada makhluk yang tidak sepatutnya,” katanya.

Comments are closed.