UPM wajibkan jalani saringan Influenza A

UPM wajibkan jalani saringan Influenza A

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) mewajibkan semua pelajar barunya yang akan mengikuti pengajian bagi sesi pertama 2009/2010, minggu depan menjalani saringan Influenza A (H1N1) sebelum mendaftar di kolej kediaman masing-masing.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporatnya, Abdullah Arshad berkata, saringan itu akan dijalankan pada 27 hingga 28 Jun ini di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM mulai jam 9 pagi.

“Semua pelajar baru dikehendaki mematuhi arahan pemeriksaan kesihatan sebelum melaksanakan pendaftaran kolej kediaman bagi memastikan proses saringan dan proses pendaftaran seterusnya berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kementerian Kesihatan sebelum ini meminta semua IPT awam dan swasta, mengambil tindakan melakukan saringan virus H1N1 melalui Pusat Kesihatan masing-masing terhadap pelajar baru yang akan mendaftar.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon, berkata universiti itu bersiap sedia menghadapi dan menangani ancaman wabak Influenza A (H1N1) di kampusnya yang menempatkan lebih 27,000 pelajar, termasuk 3,000 penuntut antarabangsa.

Comments are closed.