Pensyarah didakwa rasuah-hmetro.com.my


Pensyarah didakwa rasuah

Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my

KLANG: Seorang pensyarah kanan sebuah universiti swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan menerima rasuah RM800 daripada penuntutnya sebagai habuan untuk menaikkan markah dan lulus peperiksaan pada Rabu, minggu lalu.

Tertuduh, Dr Krishna Prasad Pamulapati, 52, yang menjawat jawatan pensyarah kanan Fakulti Teknologi Maklumat Universiti Multimedia di Sepang, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Mengikut pertuduhan, Krishnan didakwa menerima rasuah RM800 daripada penuntut universiti itu, Kumalini Devi Subramaniam, 24, untuk menaikkan markah serta meluluskan kertas peperiksaan Analisis Algoritma.

Dia yang juga seorang warga India dituduh melakukan perbuatan itu di bilik Blok B Fakulti Teknologi Maklumat Universiti Multimedia, Persiaran Multimedia Cyberjaya, Sepang, pada jam 5 petang, 24 Jun lalu.

Krishna didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana satu yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abd Khairi mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, Yong Zarida memerintah Krishnan diberi jaminan RM8,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu, Yong Zarida menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula.

Comments are closed.