Pelajar UTM maut jatuh asrama-Kosmo!

Pelajar UTM maut jatuh asrama

 

Oleh MOHD. TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar jurusan Diploma Seni Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini mungkin akan trauma seumur hidupnya apabila menyaksikan bagaimana rakan sebiliknya terlepas tangan dari tingkap sebelum terjatuh dari tingkat empat dan maut.

Amirul Hashim Jamil, 18, berkata, apa yang disaksikannya pada pukul 12.45 pagi semalam di Blok C, Kediaman Kedua Siswa Jaya UTM Jalan Rejang 4, Setapak Jaya itu sukar untuk dilupakannya.

“Saya masih terbayang detik-detik tangan rakan saya terlepas dari tingkap dan disusuli dengan jeritan kuat mangsa,” cerita beliau semasa ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian itu, Muhammad Khalis Zulkifli, 18, pelajar kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik yang baru dua minggu mendaftar diri ke universiti itu maut apabila dia terjatuh dari dinding bilik air rakannya.

Mangsa semasa itu tidak mempunyai kunci asrama untuk masuk semula ke bilik selepas keluar ke bilik rakannya.

Sebelum memanjat dinding bilik air rakan sebelah, dia dikatakan telah mengetuk pintu biliknya tetapi rakan sebiliknya, Amirul tidak dengar ketukan itu.

Ekoran itu, Khalis yang mahu masuk ke biliknya terpaksa melalui bilik rakan sebelah dan keluar dari tingkap untuk ke balkoni bilik sendiri.

Mengimbas sebelum tragedi itu, Amirul berkata, dia bersama empat rakan yang tinggal di bilik lain leka menonton filem Terminator Salvation di dalam biliknya menggunakan komputer riba.

“Kebetulan saya yang menghadap balkoni ternampak ada tangan mencengkam bingkai cermin tingkap sebelum tangan itu tiba-tiba terlepas dan disusuli dengan jeritan kuat.

“Kami berlima cemas dan semasa meninjau dari balkoni kami tidak nampak apa-apa kerana keadaan di bawah gelap,” ceritanya lagi.

Menurutnya, beberapa saat selepas itu dia terdengar bunyi pelajar menjerit memberitahu ada mayat atas simen.

Khalis ketika kejadian hanya memakai seluar pendek berwarna kuning dan mati di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala.

Difahamkan, sebelum kejadian, Khalis dikatakan terpaksa memanjat dinding bilik air rakannya yang tinggal bersebelahan dengan biliknya kerana tidak mempunyai kunci bilik.

Di dinding bilik air itu pula terdapat satu lubang segi empat yang boleh memuatkan badan manusia untuk masuk ke balkoni menuju ke bilik mangsa.

Comments are closed.