Pelajar UM maut jatuh tingkat 16-Berita Harian 28 Julai 2009

Pelajar UM maut jatuh tingkat 16

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar lelaki Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), maut selepas jatuh daripada Tingkat 16, Blok 5 Apartmen Vista Angkasa di Kerinchi di sini, pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Tan, 22, ditemui tertiarap jam 11.30 pagi dalam keadaan mengerikan dengan badan berlumuran darah dan kepala pecah di tempat letak motosikal.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Khalid, berkata polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa daripada orang awam kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Muar, Johor berdasarkan kad pengenalan ditemui dalam beg yang ditinggalkan di koridor Tingkat 16 apartmen itu.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari bangunan itu berdasarkan penemuan barang miliknya termasuk sebuah beg dan cermin mata yang ditinggalkan di Tingkat 16. Polis juga menjumpai kad pelajar yang tertera tahun 2006/2007.

“Mungkin mangsa masih belajar di universiti berkenaan, tapi tidak memperbaharui kad atau sudah tamat belajar. Kita akan terus menjalankan siasatan walaupun kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, turut terdapat di dalam beg yang ditemui itu adalah nota kuliah milik mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan polis juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa di Johor.

Comments are closed.