Ghauth Jasmon Pretending To have Integrity

Friday August 7, 2009

SKANDAL UM : Kuasa autonomi UM uruskan isu dalamannya – Khaled

Oleh ROZAID A. RAHMAN

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau menyerahkan kuasa penuh kepada Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Dr Ghauth Jasmon untuk menyelesaikan isu panas berhubung dakwaan penyelewengan dan skandal yang melanda Jabatan Pengajian India, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

“Salah satu tujuan utama kita meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti adalah untuk memberi kuasa autonomi kepada universiti menentukan kemajuan dan halatuju baru yang ingin mereka lakukan dengan pihak kementerian berfungsi sebagai pemudahcara,” kata beliau kepada mStar Online ketika ditemui di sini.

Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas isu berhubung pelantikan ketua jabatan yang baru, skandal yang melanda jabatan berkenaan dalam pemeriksaan kertas tesis calon PhD dan juga laporan yang disediakan oleh pejabat naib canselor kepadanya tentang jumlah penerima ijazah dengan kepujian kelas pertama pada kadar yang sangat luar biasa.

Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, beliau percaya pejabat naib canselor UM mempunyai asas-asas yang tertentu dalam merencanakan halatuju mana-mana jabatan dan juga fakulti serta menentukan siapakah yang wajar menerajui jabatan berkenaan tanpa perlu orang luar mempolitikkannya.

“Saya juga percaya siasatan yang dilakukan atas apa jua isu dan masalah yang timbul di jabatan berkenaan adalah untuk mencari kebenaran dan menegakkan integriti UM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi negara yang berwibawa,” kata beliau.

Isu dan kontroversi di Jabatan Pengajian India mula menjadi perbualan hangat apabila pihak pentadbiran UM melantik seorang bukan dari keturunan India untuk menerajui jabatan berkenaan. Secara tradisinya, Jabatan Pengajian India diketuai oleh seorang pensyarah berketurunan India.

Bagaimanapun, Dr Ghauth Jasmon dalam satu laporan lengkapnya kepada Menteri bertarikh 30 Julai lalu telah menyatakan bahawa pertengkaran dan pertikaman lidah di antara lapan kakitangan akademik di jabatan berkenaan berhubung siapa yang lebih layak menerajui jabatan itu adalah punca mengapa seorang bukan India terpaksa dilantik sebagai pemangku ketua buat sementara waktu.

Tindakan tersebut mendorong MIC untuk turut campur tangan dengan mendesak supaya jawatan tersebut dikembalikan kepada seorang pensyarah keturunan India sebagaimana tradisi sebelum ini.

MIC juga telah menghantar satu rombongan yang diketuai oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Dr S. Subramaniam menemui Dr Ghauth pada 30 Julai lalu untuk menyatakan pandangan dan pendirian parti itu berhubung isu berkenaan.

Kontroversi di jabatan itu juga tidak hanya berkisar kepada soal siapa yang patut dilantik menjadi ketua tetapi juga turut dikaitkan dengan terdapatnya satu penyelewengan dalam urusan pemeriksaan tesis calon doktor falsafah (PhD) dan juga penganugerahan ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama pada jumlah yang sangat luar biasa.

Kedua-dua isu tersebut dibongkar apabila satu siasatan dalaman dilakukan atas arahan Dr Ghauth baru-baru ini.

Comments are closed.