50,000 lagi masih menganggur – Graduan IPT Islam didakwa kurang laris-19 Ogos 2009-Kosmo!

KANGAR – Isu pengangguran graduan didakwa lebih terasa di kalangan lepasan pusat-pusat pengajian tinggi berteraskan Islam dengan dianggarkan 50,000 orang masih lagi tidak mempunyai pekerjaan.

Kumpulan penganggur itu pula dikatakan bukan sahaja pemegang diploma dan ijazah pengajian Islam tetapi juga membabitkan bidang pengajian strategik seperti kejuruteraan awam, syariah dan matematik.

Fakta itu didedahkan oleh Pengerusi Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan menganggap ia kesan daripada sikap pilih kasih sesetengah majikan yang mengutamakan graduan institusi pengajian tinggi konvensional dan swasta.

“Kumpulan ini jika tidak dibantu mungkin mengambil jalan singkat dengan menyertai gerakan atau kumpulan berfahaman tidak sihat,” katanya kepada pemberita di Hotel Putra Palace di sini kelmarin.

Beliau mendakwa memperoleh angka graduan menganggur itu daripada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Baitulmal sejak lima tahun lalu.

Zahidi menarik perhatian bahawa angka pengangguran itu terus bertambah dengan purata 6,000 graduan baru setiap tahun.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan menafikan majikan bersikap prejudis dengan memberi contoh kepada lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang majoritinya memperoleh pekerjaan.

Comments are closed.