Hampir 400 kecewa tawaran ditarik balik-Kosmo! Online

LONDON – Hampir 400 pelajar tingkatan enam kecewa setelah mengetahui tawaran memasuki Universiti Exeter ditarik balik atau dikenakan syarat tambahan, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa pelajar mendakwa kegembiraan mereka kini bertukar menjadi kecewa setelah pihak universiti melakukan kesalahan teknikal.

Sejumlah pelajar kekurangan bilangan A yang diperlukan sebagai syarat kemasukan ke universiti itu.

Pada mulanya, mereka diberitahu berjaya meneruskan pengajian menerusi satu surat ucapan tahniah.

Namun, sebanyak 190 pelajar yang kemudian menyemak status permohonan di Internet terkejut kerana mengetahui tawaran itu sebenarnya satu kesilapan.

Seorang pelajar, Jenny Cheetham yang berumur 18 tahun dari Camberley, Surrey, berasa terkejut selepas mendapati permohonannya ke sebuah universiti ditolak selepas menerima surat tawaran.

Pada mulanya, dia berasa gembira kerana mendapat surat tawaran kemasukan ke univeriti.

Namun, beberapa jam kemudian, dia menerima e-mel daripada Perkhidmatan Kemasukan Universiti dan Kolej (UCAS) yang memintanya memeriksa statusnya di Internet.

“Saya berasa terkejut. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya selepas mendapati permohonannya memasuki universiti ditolak. – Agensi

Comments are closed.