Atasi plagiarisme di universiti -Forum (Utusan Malaysia)

Atasi plagiarisme di universiti

SAYA mengalu-alukan pandangan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim tentang kekhuatiran beliau terhadap kewujudan ijazah sarjana dan PhD ‘segera’ oleh institusi yang tidak bertauliah. Sehubungan itu, saya juga ingin menyuarakan kebimbangan saya terhadap gejala plagiarisme di universiti tempatan. Saya adalah doktor pakar yang telah selesai mengikuti kursus sarjana di sebuah universiti tempatan. Terdapat beberapa pemerhatian terhadap pensyarah-pensyarah muda di sana yang mahukan gelaran profesor madya secara mudah tanpa berusaha sendiri dengan jujur untuk menghasilkan kertas penyelidikan. Mereka mengambil jalan mudah untuk menggunakan pelajar sarjana yang menyiapkan tesis supaya meletakkan nama mereka dalam kertas saintifik tersebut. Pelajar-pelajar sarjana yang baru masuk juga diberi ‘amaran’ supaya meletakkan nama-nama mereka pada kertas tesis yang diterbitkan atau dibentangkan dalam persidangan. Jika tidak, mereka akan ‘dihukum’ semasa peperiksaan akhir. Kalau pun amaran seperti ini tidak diberikan secara langsung, ia dapat diperhatikan daripada tingkah laku pensyarah-pensyarah yang nama mereka tidak diletakkan dalam kertas penyelidikan. Mereka tidak mahu membantu, malah ‘keras’ apabila tiba masa peperiksaan. Mereka juga berupaya menjadikan hidup pelajar sarjana ‘satu penyiksaan’ dalam situasi sebegini. Telah menjadi ‘trend’ yang semakin menjadi-jadi sekarang ini yang mana pensyarah-pensyarah berkenaan akan menelefon pelajar yang telah menyiapkan tesis mereka untuk mengambil hasil kajian mereka untuk ‘ditulis’ bagi tujuan penerbitan. Walaupun pensyarah-pensyarah ini tidak terlibat dalam penyelidikan tersebut, mereka akan meletakkan nama mereka di hadapan sekali apabila kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal. Ini adalah cara yang amat mudah tetapi tidak jujur untuk mendapatkan nama. Ada kalanya, apabila saya menyertai persidangan-persidangan antarabangsa, saya memerhatikan pensyarah-pensyarah ini membentangkan kertas penyelidikan dengan meletakkan nama mereka di hadapan dan nama yang empunya tesis di belakang (nama di tempat pertama seharusnya menjadi pemilik tesis tersebut kerana usaha dan jerih perihnya menghasilkan tesis). Malah nama pensyarah senior yang lain yang sebenarnya terlibat dalam kajian adakalanya ditinggalkan. Ada juga ‘komplot’ yang mana pensyarah-pensyarah muda ini ‘berpakat’ sesama sendiri untuk meletakkan nama mereka dalam semua kertas penyelidikan yang dihasilkan walaupun tidak terlibat langsung dalam penyelidikan yang dijalankan. Ini juga adalah cara mudah untuk mendapat lebih banyak point untuk dinaikkan pangkat. Jadi mereka ‘bantu membantu’ supaya semua nama muncul dalam jurnal walaupun mereka sendiri tidak tahu kandungan kajian yang diterbitkan. Semua gejala ini tidak lagi menjadi rahsia, malahan diketahui umum di kalangan ahli akademia universiti. Malah ia menjadi dilema – jika didedahkan, ada orang yang akan terasa pedas. Malangnya, ia semakin menjadi-jadi apabila gejala ini mula meresap dan menjadi ‘biasa’ di kalangan pensyarah-pensyarah. Saya bimbang, apabila tiba masanya, pelajar-pelajar yang teraniaya ini mula membawa kes-kes sedemikian untuk perhatian akademia dunia. Seperti politik wang, gejala sebegini harus dikekang dari sekarang sebelum terlambat. Saya tidak sanggup melihat akademia tempatan lain yang jujur dan bekerja keras mendapat nama yang buruk hanya kerana apa yang dilakukan oleh pensyarah-pensyarah sebegini. Pun begitu, saya percaya kita harus berlaku adil terhadap pensyarah-pensyarah yang mempunyai minat tulen terhadap penyelidikan dan berusaha keras dan amat etikal dalam kerja penyelidikan mereka. Mereka ini harus disanjung dan berhak untuk diberikan ganjaran yang wajar. Masih belum terlewat untuk pentadbir-pentadbir universiti tempatan memberikan saranan-saranan supaya pensyarah-pensyarah muda ini bersifat etikal dalam kerja-kerja penyelidikan. Saya percaya, sekiranya kita mendidik ahli akademik kita untuk jujur dan bersifat tulen untuk menghasilkan penyelidikan sendiri, negara kita akan maju dalam erti kata yang sebenarnya.

Comments are closed.