Bendung kegiatan beli gelaran, ijazah ekspres Utusan Malaysia

ARKIB : 24/09/2009 Bendung kegiatan beli gelaran, ijazah ekspres JABATAN Peguam Negara wajar mengambil tindakan segera dan proaktif dengan permintaan agar jabatan berkenaan memutuskan sama ada ‘pembelian’ gelaran seperti ‘Datuk’ dari luar negara atau ijazah Doktor Falsafah (PhD) ‘secara ekspres’ merupakan perbuatan jenayah atau sebaliknya. Permintaan yang disuarakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim itu tidak boleh dipandang sepi. Dr. Rais nyata bimbang dengan kegiatan seperti ini yang kini semakin serius. Justeru, Jabatan Peguam Negara tidak harus menganggap pembelian gelaran ‘Datuk’ dan ‘PhD’ sebagai kes terpencil dan terpinggir. Saya sependapat dengan Dr. Rais, jika kegiatan membeli gelaran sosial yang dikatakan semakin serius ini tidak ditangani akan melahirkan satu generasi ‘ilmuwan palsu’ atau ‘ilmuwan plastik’ yang akan mendatangkan bencana dan bahana kepada agama, bangsa dan negara. Ini kerana hanya kalangan yang menghadapi masalah ‘moralisme’ dan ‘mentalisme’ kronik sahaja sanggup membeli gelaran palsu. Akhirnya nanti wajah sebenar akan terserlah apabila pemilikan ilmu, termasuk cara berfikir pemilik gelaran palsu itu, tidak mencapai standard atau keupayaan seorang pemegang PhD misalnya. Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara perlu menilai dan merumuskan juga kaedah untuk menghalang perbuatan membeli gelaran sosial yang dikatakan semakin menjadi-jadi ini. Pihak yang menggunakan gelaran palsu berkenaan harus disiasat dengan segera kerana mereka boleh ditafsir sebagai melakukan satu bentuk penipuan kepada masyarakat. Adalah sesuatu yang sangat tidak patut apabila sesetengah ahli masyarakat yang berstatus pemimpin juga dikesan membeli ‘PhD ekspres’. Kalau gelaran PhD sanggup dibeli, maka kalau ia terlibat dalam bidang politik tidak peliklah kalau undi pun dibeli. Kalau ia pegawai kerajaan, ia akan terlibat dengan rasuah kerana soal moral tidak ada dalam kamus hidup mereka yang mengalami masalah moralisme dan mentalisme kronik. Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Rais, pembelian gelaran dari luar adalah lanjutan daripada sikap menjual gelaran yang sama di dalam negara. Dahulu gelaran istana diberikan kepada yang berjasa kepada raja dan negara, sekarang nilai-nilai itu sudah berubah. Kalau PhD boleh dibeli, apatah lagi dengan diploma dan ijazah, tidak mustahil ia boleh dibeli, setidak-tidaknya dalam bentuk tesis yang diupah orang tertentu menyediakannya. Apabila terjun ke lapangan kerja, maka mutu perkhidmatan yang disumbangkan tidak sepadan dengan kelulusan yang kononnya dimiliki. Andainya masalah yang sedang berlaku ini tidak dibendung dan semakin merebak, dalam tempoh terdekat pasti negara akan dibanjiri pemilik gelaran bertaraf sampah-sarap dan lambakan ilmuwan palsu dan plastik.

Comments are closed.