Kilang, percanggahan ilmu, Pak Turut-PROF. TAN SRI DATUK DZULKIFLI ABDUL RAZAK Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Utusan Malaysia

Pada pendapat saya, dalam membincangkan tentang masa hadapan pengajian tinggi amnya, dan universiti khususnya, apa yang utama adalah soal-soal “asas” dari mana terbit segala-galanya. “Asas” tersebut mesti sesuai dengan masa dan ketikanya, lantas prestasi yang dihasilkan turut mendatangkan manfaat sepenuhnya. Dan berkesan pula dari segi kos yang dibelanjakan. Misalnya, selepas overhaul dilakukan, hasilnya perlu meningkat berlipat-lipat kali ganda ekoran kecekapan telah ditingkatkan. Namun demikian jika tidak sesuai atau sepadan seperti yang dibangkitkan oleh Dato’ Salleh, maka ia akan terus menghantui. Datuk Radin ada membayangkan cara penyelesaiannya dengan memperkenalkan konsep profil graduan, bermaksud jika profil graduan yang dihasilkan sesuai, maka soal sepadan tidak timbul. Ini membuka satu persoalan lain: siapa yang menentukan apa yang sepadan atau tidak? Sudah tentu pihak majikan kerana akhirnya perkiraan kita adalah untuk memenuhi sektor pekerjaan. Ini semacam Indeks Prestasi Utama (KPI) sesebuah universiti. Jika semua keluaran institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat pekerjaan yang sepadan dan cepat, maka dianggap “berjayalah” IPT tersebut. Begitu pula jika di sebaliknya. Pendek kata, tidak banyak bezanya di antara sebuah “kilang” yang mengilang barangan buatan yang sepadan dengan pasaran, dengan sebuah universiti yang mengeluarkan (mengilang?) “graduan” – asalkan prinsip “keterpasaran” (marketability) dipatuhi. Seperti barangan perkilangan, selagi ada permintaan, selagi itulah mesti ada pembekalan. Namun kerisauan yang “kita sudah sampai tahap terlalu banyak universiti” menggambarkan pula sumber bekalan sudah terlalu banyak, dan dikhuatiri melebihi permintaan, biar sepadan mana sekalipun! Mujurlah yang dikatakan universiti khusus seperti – Multimedia, Telekom, Petronas – juga menentukan “permintaan” pasaran (sekali gus merupakan majikan utama kepada industri-industri utama negara). Oleh itu cerita kesepadanan tidak timbul bagi mereka. Halnya amat berbeza dengan IPT yang lebih umum di mana mencari kesepadanan agak lebih rumit. Ini memandangkan IPT umum juga menyasarkan industri yang sama. Di sini timbul isu keterpasaran, apa lagi sekiranya pasar telah ditepukan oleh graduan universiti khusus tersebut, yang pada adatnya lebih cenderung ditempatkan di industri yang berkaitan. Selainnya, IPT umum masih memikul amanah menawar dan membangunkan kursus-kursus yang dianggap kurang mendapat pasaran. Misal bidang falsafah, kesusasteraan tempatan, bidang agama, seni, budaya dan warisan. Industri mana agaknya yang memerlukan bidang ilmu ini secara berterusan, kalaupun ada? Wajarkah oleh kerana tidak ada pasaran bidang-bidang ini dicicirkan dengan sengaja seperti menutup kilang yang rugi? Sudah tentu tidak, kerana apa yang dipentingkan oleh universiti adalah nilai ilmu tersebut berbeza dengan industri. Ternyata terdapat percanggahan nilai ilmu di sini. Diandaikan sebuah universiti itu adalah “kilang,” perhitungannya teramat mudah sekali; lantas IPT swasta lebih berkecenderungan tidak menawar kursus yang tidak laku di pasaran, tidak kira setinggi mana sekali nilai ilmunya! Maka tidak hairan, hampir tidak ada IPT swasta yang menawarkan bidang-bidang tersebut. Kalau ada pun umpama seni, kerana ia boleh dipasarkan! Anehnya IPT swasta rata-rata dianggap lebih berjaya dan kos-berkesan berbanding dengan IPT umum kerana mereka pandai memilih-milih kursus untuk diperagakan. Ringkasnya, kekusutan ini timbul kerana kita masih tidak jelas tentang apa yang dikatakan “universiti”? Adakah untuk tujuan pasaran semata-mata, seperti yang sering dipolemikkan? Jika ya, apakah akibatnya nanti jika universiti menjadi Pak Turut kepada telunjuk pasaran dengan anggapan ia juga adalah tuntutan negara? Untuk menjawabnya lihat sahaja apa yang berlaku hari ini di mana Malaysia dikatakan terperangkap dalam tingkat ekonomi sederhana. Antaranya ia disebabkan bahawa universiti atau IPT kita, baik awam mahupun swasta gagal menyediakan graduan untuk tingkat ekonomi yang lebih tinggi gara-gara memenuhi permintaan pasaran yang agak ketinggalan dalam usaha ini. Dengan kata lain pasaran yang ada tidak langsung berupaya/berminat menjangkau masa hadapan, malah terus ketinggalan agak jauh ke belakang. Ambil contoh, bidang bioteknologi. Pasaran untuk graduan berkemahiran dalam bidang ini amat terhad, malah tiada langsung beberapa tahun yang lalu. Jadi apa yang hendak disepadankan jika tiada pasaran, atau terlalu kecil untuk menjadi penentunya. Lantas kita terus tercicir dalam bidang bioteknologi kerana “universiti” kita hanya dikehendaki “mengisi” pekerjaan yang ada dan bukan mengambil risiko membina pekerjaan hari esok.

Comments are closed.