Sentral: Kelab gay diserbu-Berita Harian

Sentral: Kelab gay diserbu Remaja lelaki pilih jalan songsang bersama kekasih sama jenis BUKIT BINTANG:

Mereka sepatutnya menelaah buku atau bersama keluarga di rumah, namun 34 remaja lelaki bawah umur memilih jalan songsang dengan berhibur bersama pasangan kekasih sama jenis di sebuah pub dan disko di di sini, awal pagi semalam. Remaja itu adalah antara kira-kira 150 lelaki dipercayai gay yang berada di pusat hiburan yang turut menyajikan persembahan aksi berahi kepada pelanggan seperti diiklankan di depan premis itu. Namun, keasyikan mereka berhibur termasuk ada yang leka menari sambil mempamerkan aksi berahi gay dan meneguk arak sehingga awal pagi, dikejutkan dengan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Dang Wangi kira-kira jam 1.30 pagi. Difahamkan, ketika serbuan, pub dan disko itu baru memulakan pertunjukan berahi yang diadakan hanya pada Jumaat dan Sabtu. Lebih malang, 90 peratus pengunjung pusat hiburan itu terdiri daripada kalangan orang Melayu, dengan sebahagian besar hanya berusia belasan tahun dan awal 20-an. Tinjauan ke kelab itu sebelum ini mendapati ada pengunjung lelaki tanpa segan silu berpelukan sambil berciuman sesama sendiri, manakala ada pengunjung wanita menanggalkan baju dan menari dengan hanya memakai coli. Dalam serbuan awal pagi semalam, kelab itu penuh sesak dengan lelaki dan hanya ada segelintir pengunjung wanita. Polis menemui banyak kondom di atas lantai pusat hiburan itu dipercayai dibuang lelaki gay termasuk warga asing bagi melindungi kegiatan mereka. Berdasarkan maklumat, individu yang biasa dengan pusat hiburan itu, ada antara pengunjung mengambil kesempatan menjual dadah di premis itu. Polis kemudian membawa 34 remaja bawah umur ke IPPD Dang Wangi untuk menjalani ujian air kencing, manakala pengunjung lain termasuk warga asing dibebaskan serta-merta. Bagaimanapun, ujian air kencing ke atas 34 remaja terbabit mendapati mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah. Difahamkan, dua pekerja pusat hiburan itu termasuk seorang remaja bawah umur turut dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Semua remaja terbabit dibebaskan selepas waris mereka dipanggil ke balai polis. Seorang waris yang ditemui berkata, beliau terkejut apabila dua anak saudaranya menghubungi dan memaklumkan ditahan polis di pusat hiburan berkenaan. “Saya memang tak sangka anak saudara saya itu mengunjungi pusat hiburan seperti ini. Mereka memang tinggal bersama saya dan kejadian ini pasti mengecewakan ibu bapa mereka yang juga kakak dan abang saya,” katanya. Serbuan itu hasil aduan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan (Bukit Bintang) yang mengambil inisiatif memantau rapi pusat hiburan terbabit bagi mengelak lebih ramai orang Islam terjebak dengan gejala maksiat seperti gay. Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan (Bukit Bintang), Roslan Dahaman yang turut turun padang ke lokasi serbuan berkata, pemantauan pusat hiburan itu yang dilakukan anggota Bahagian Risikan dikenali sebagai Muaz. “Ia satu daripada usaha pihak kami menangani gejala sosial di kalangan umat Islam serta operasi hiburan dan maksiat tidak berlesen. “Kami berterima kasih kepada polis kerana membuat serbuan ini, tetapi kami kesal terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana tidak turut bersama dalam serbuan itu walaupun aduan sudah dibuat terhadap kedua-dua pihak berkenaan,” katanya sambil menambah pihaknya akan meneruskan usaha seperti itu.

Comments are closed.