Bos lupa diri dibuai cinta isteri orang – Berita Minggu Ruangan Wanita dan Keluarga, 2 Januari 2005.

Bos lupa diri dibuai cinta isteri orang

“SELAMAT menyambut tahun baru. Semoga kedatangan 2005 menyerikan lagi kehidupan seharian pembaca sekalian. Semoga kemunculan tahun baru ini, hari-hari mendatang menjadi lebih bermakna dan ceria apabila ia turut disertai dengan semangat, azam dan segulung harapan. Apa yang pasti, masa beredar dengan begitu pantas sekali meninggalkan kita pada setiap tahun. Justeru, manfaatkan setiap hari dengan bijaksana dalam kita meniti usia. Namun, dalam kepantasan masa itu, kita tidak dapat lari daripada mendengar dan bercakap mengenai kisah atau cerita di sekeliling, sama ada membabitkan rumah tangga atau ahli keluarga sendiri mahupun orang lain. Suatu ketika dulu amat jarang kita terdengar isteri tergamak menduakan suami tetapi sekarang ini, ia seakan-akan sudah menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat Melayu. Jika perkara itu berlaku di kalangan orang Barat, mungkin ramai yang tidak ambil pusing tetapi ramai yang akan bercakap jika keadaan seumpama itu berlaku di kalangan masyarakat tempatan. Lebih sedih dan malu jika perkara seumpama itu berlaku di sebuah institusi Islam yang membabitkan orang atasan atau ketua yang berpengaruh dan begitu arif mengenai ajaran agama Islam. Kisah minggu ini datangnya daripada seorang wanita, Hanis, yang bertugas di sebuah institusi Islam terkemuka di ibu negara. Ketika menemui penulis, Hanis turut ditemani seorang rakan sekerja wanita. Pertemuan itu diadakan di sebuah hotel terkemuka di pinggir ibu kota baru-baru ini. Ikuti cerita Hanis: “Saya tahu cerita suami orang bermain cinta dengan isteri orang bukanlah perkara baru dalam kehidupan sekarang tetapi amat memalukan jika perkara seumpama itu berlaku di kalangan mereka yang cerdik pandai dalam Islam dan bertugas di sebuah institusi Islam. Saya terasa amat malu untuk bercerita tetapi apakan daya terasa diri bersubahat dalam perkara ini kerana yang melakukannya ialah ketua sendiri. Hubungan cinta ketua saya dengan seorang pegawai penyelidiknya sudah heboh diperkatakan oleh kakitangan di institusi kami bekerja tetapi ketua saya masih tidak sedar diri dan terus memadu kasih dengan wanita beranak dua itu. Ketua saya berusia lewat 50-an manakala wanita itu pertengahan 30-an. Mereka sudah bercinta selama setahun dan pertengahan tahun lalu, isterinya sudah terhidu hubungan mereka dan kami di pejabat yang menjadi pendengar setia dan tempat dia mencurahkan masalah. Bukan saya dan rakan-rakan sekerja tidak menasihatkan ketua tetapi dia buat tidak faham saja. Wanita itu baru saja bekerja tiga tahun di institusi itu tetapi pelbagai habuan dan kenaikan diperoleh berbanding pegawai yang lebih lama berkhidmat. Banyak keistimewaan yang diperoleh wanita itu hanya kerana dia menjadi buah hati ketua sedangkan yang lain hanya gigit jari saja. Maklumlah orang pandai melayan. Bayangkanlah, bagaimana saya tidak kata ketua saya boleh jatuh cinta dengannya, pagi-pagi lagi dia sudah hantar sarapan kepada ketua saya. Tengah hari masuk lagi ke dalam bilik bos dan hantar hidangan tengah hari pula. Bos dan dia asyik di dalam bilik saja. Macam manalah kita tidak berfikir macam-macam. Jika orang lain nampak pun, pasti mereka akan bercakap juga seperti kami. Pakaian wanita itu bukan macam orang hendak ke pejabat, lagaknya seperti hendak pergi kenduri kahwin dengan selendang berlilit dan berhias cantik. Dia tidak pakai baju yang ringkas, semuanya cantik-cantik belaka, maklumlah hendak menawan hati bos. Bos pula memang selalu pilih dia jika hendak ke mana-mana walhal dia tidak terbabit atau diperlukan di dalam satu-satu seminar ataupun persidangan. Jika ketua saya yang terpaksa ke perjumpaan itu, dia sudah tentu mengajak wanita itu bersama-samanya sekali walaupun hakikatnya, dia tidak diperlukan langsung. Jika pulang pun pasti kelihatan bersama-sama keluar dari pejabat. Jika sesekali tidak mengapa, tetapi jika sudah kerap dan pulang agak lewat, sudah tentu, pengawal keselamatan pun akan bertanya. Pendek kata, segala perbuatan dan tingkah laku ketua dan pegawai penyelidiknya itu menimbulkan kecurigaan dan syak wasangka di kalangan kakitangan. Ketua itu seolah-olah sudah hilang perasaan malu, segan dan pertimbangan kerana terlalu asyik melayan pegawai penyelidiknya itu. Dia tidak sedar wanita itu sudah berkeluarga dan masih ada suami. Apabila ada yang membangkitkan perkara itu, ketua saya mengatakan, rumah tangganya mungkin bermasalah. Namun, sebagai orang yang lebih dulu makan garam dan diberi kepercayaan untuk menjadi ketua di institusi itu, sepatutnya dia memberi nasihat tetapi lain pula jadinya sekarang ini. Isteri ketua saya itu ada terjumpa surat cinta suaminya dengan wanita itu. Dengar cerita, ketua saya memanggil pegawai penyelidiknya itu ‘sayang’ dan banyak duit sudah dilaburkan pada wanita itu, termasuklah duit simpanannya sekali sehingga menimbulkan kemarahan daripada anak-anak ketua saya yang semuanya sudah besar panjang dan ada yang sudah berkeluarga. Saya amat simpati kepada isteri ketua saya itu kerana terpaksa berdepan dengan cerita sebegini apatah lagi dia berpenyakit dan sudah tentu memerlukan perhatian daripada orang tersayang. Namun, Alhamdulillah, isteri ketua saya itu begitu sabar dengan keadaan yang berlaku sekarang ini. Wanita itu pula tidak sedar diri kerana tergamak menduakan suami. Dengar cerita, sebelum dia bertugas di institusi itu, dia juga pernah bermain cinta dengan orang atasan dan berpengaruh tetapi akhirnya hubungan itu terputus di tengah jalan selepas banyak harta lelaki itu dikikisnya. Saya bimbang wang ringgit ketua saya itu juga akan dikikis habis-habisan dan akhirnya ditinggalkan begitu saja. Mungkin itu juga salah satu cara dia mendapatkan kesenangan biarpun sudah bergelar isteri orang. Saya dapat tahu suami wanita itu tidak pula naik angin apabila mendapati isterinya bermain kayu tiga. Suami apa begitu? Dia seolah-olah suka isterinya curang. Mungkin dia pun dapat sekali wang yang diperoleh isterinya daripada lelaki lain. Saya katakan begitu kerana ketua saya bukanlah orang pertama menjadi mangsa wanita itu tetapi sudah ada beberapa lelaki lain yang turut mengalaminya sebelum ini. Kadangkala kasihan juga melihat ketua saya itu seperti orang tidak tentu haluan. Rambut tidak bersikat dan diri seperti di dalam alam mimpi saja lagaknya. Mungkin juga dia bingung sebab orang dalam alam percintaan. Saya harap ketua saya akan tersedar dengan perbuatannya itu,” katanya mengakhiri perbualan.

ULASAN: MEMANG benar seperti kata Hanis jika cerita seumpama ini berlaku di kalangan mereka yang tidak bekerja di institusi Islam, tidaklah begitu memalukan tetapi berlainan pula apabila ia membabitkan ketua dan pegawai penyelidik di sebuah institusi Islam.

Lebih memalukan lagi, kedua-duanya mempunyai latar belakang akademi pengajian Islam dan sudah tentu mereka begitu arif mengenai hukum hakam tetapi mengapa masih memandang mudah perkara yang dilakukan sehingga mengundang kemarahan, syak wasangka dan kecurigaan di kalangan kakitangan.

Ketua itu sepatutnya berasa malu dengan perbuatannya itu dan tidak mudah terpedaya dengan pujuk rayu pegawai penyelidik yang boleh disifatkan sebagai pisau cukur dan mata duitan. Beliau juga sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan kepada pegawai dan kakitangan bawahan dan bukannya menjadi ‘playboy’.

Tidak malukah ketua itu kepada pegawai dan kakitangan bawahannya apabila dilihat begitu mesra dan asyik berbual dengan pegawai penyelidik yang sudah pun bersuami dan beranak-pinak?

Kepada wanita itu pula, hentikanlah perbuatan curang dan kembalilah kepada suami dan anak-anak. Tumpukanlah perhatian kepada keluarga dan usah membuang masa untuk terus memancing dan memikat ‘ikan-ikan besar’ untuk kesenangan dan keselesaan anda.”[1]

 


[1] Bos lupa diri dibuai cinta isteri orang, Berita Minggu, Ruangan Wanita dan Keluarga, 2 Januari 2005.

Comments are closed.