Pertahan integriti dalam budaya kerja universiti Shafry Uthman-Utusan Malaysia

Pertahan integriti dalam budaya kerja universiti

SEBAGAI seorang warga sebuah universiti, saya cukup tertarik dengan tulisan Datuk Salleh Majid melalui ruangan Saranan Salleh di akhbar ini pada 19 dan 26 September lalu.

Penulisan kritis beliau merentasi pelbagai isu yang berlaku di dalam sesebuah universiti awam di Malaysia.

Beliau menulis tentang isu penularan budaya plagiat hinggalah kepada masalah penguasaan bahasa Inggeris para graduan. Daripada budaya penerbitan ahli akademik hingga isu pelantikan jawatan utama universiti.

Kesemua isu yang dinukilkan oleh Salleh seharusnya dicerna secara positif oleh para pimpinan universiti mahupun pelaksana dasar di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Saya berpendapat, kesemua budaya tidak elok yang menular di universiti seperti yang dibangkitkan oleh Salleh itu, berkait rapat dengan etika dan integriti para pelajar, pentadbir dan pensyarah universiti itu sendiri.

Sebahagian yang dibangkitkan oleh beliau bukanlah isu baru malah ia telah berlaku sejak sekian lama. Bukan sahaja di Malaysia malah di negara mana sekalipun. Ini termasuklah isu plagiat, budaya penerbitan dan pilih bulu dalam pelantikan jawatan utama.

Cabaran mentadbir sebuah universiti pada masa ini menjadi lebih kompleks dan getir berikutan perkembangan pesat kemajuan teknologi maklumat serta perbezaan pandangan manusia terhadap nilai sebuah kehidupan.

Sebagai contoh, budaya “potong dan tampal” yang meresapi penulisan para pelajar atau pensyarah pada ketika ini adalah kesan pembudayaan teknologi maklumat dalam kalangan warga universiti.

Perkara ini telah berlaku sejak lama dahulu, bezanya hanyalah teknologi yang diaplikasikan. Dengan adanya kemudahan ICT, kerja menceduk maklumat bertambah senang dan tidak hairanlah jika ia begitu mudah disalah guna.

Selain itu, nilai kehidupan pada masa ini yang lebih materialistik dan berorientasikan kesenangan telah mendasari tingkah laku dan pelaksanaan dasar serta peraturan sedia ada.

Pada era pra dan pasca merdeka, bertugas di sebuah universiti merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang sangat besar dan mulia berpaksikan perjuangan membangunkan bangsa dan negara.

Tetapi pada masa ini, paksi itu seolah-olah tidak wujud lagi. Malah ia digantikan dengan matlamat yang lebih materialistik demi survival peribadi dan keluarga.

Usaha untuk menduduki jawatan tinggi atau jawatan profesor di universiti menjadi medan perlumbaan sengit dan keutamaan peribadi sebahagian warga universiti kerana ia dapat menjanjikan imbuhan yang lebih lumayan.

Perubahan inilah yang menyebabkan timbulnya “ketakjuban organisasi” (organizational intrigue) seperti yang dikatakan Salleh.

Berkenaan dengan isu penguasaan bahasa Inggeris yang masih lemah dalam kalangan siswazah, saya melihat perkara ini mempunyai kaitan dengan kecelaruan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PSSMI) di peringkat sekolah yang hangat diperkatakan.

Tidak perlu ada sindrom penafian dalam memperkatakan isu ini. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan KPT perlu bekerjasama dengan lebih erat dan bersepadu dalam merencanakan sistem dan kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris ini supaya wujud kesinambungan dalam pembelajaran bahasa ini di peringkat sekolah hingga ke universiti.

Jika kita meneliti Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dan Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara 2007-2010 yang digariskan oleh KPT, pastinya kita dapat menanggapi hasrat holistik kerajaan dalam memperkasa pengajian tinggi negara.

Namun kita juga perlu menerima hakikat bahawa segala dasar mahupun pelan yang digariskan itu perlulah dihayati dan dicerna dengan penuh amanah, dedikasi dan bertanggungjawab. Tanpa sifat-sifat ini, sudah pasti dasar dan pelan tersebut hanya sekadar menjadi penghias rak-rak buku di pejabat.

Pada ketika inilah aspek integriti menjadi mustahak dan menjadi “fardu ain” bagi setiap individu.

Sejauh mana kepatuhan dan kebertanggungjawaban seseorang dalam melaksanakan segala dasar dan perancangan yang ditetapkan kementerian, bergantung sepenuhnya kepada tahap integriti seseorang itu.

Dalam agama Islam, integriti ini berkait rapat dengan tahap keimanan dan ketakwaan seorang kepada Allah SWT.

Seseorang yang beriman dan bertakwa hanya akan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh-Nya dan sentiasa akan menjauhi segala larangan-Nya.

Dalam integriti terhimpun semua sifat mahmudah yang dianjurkan oleh Islam seperti amanah, jujur, sabar, bertanggungjawab dan bijaksana.

Inilah cabaran besar yang perlu dipandang serius oleh pihak kepimpinan kementerian dan universiti pada ketika ini iaitu bagaimana meningkatkan integriti dalam kalangan seluruh warga kerjanya.

Hanya dengan adanya integriti barulah kita akan dapat memastikan semua masalah moral seperti yang dinyatakan oleh Salleh itu dapat diatasi. Seterusnya dapat memelihara martabat universiti sebagai sebuah institusi intelek.

SHAFRY UTHMAN

Johor

Comments are closed.