Pemegang PhD palsu perosak imej ilmuwan-Dr Jerniri Amir:Berita Harian

Pemegang PhD palsu perosak imej ilmuwan Oleh Dr Jerniri Amir Manusia gila gelaran jejas reputasi tokoh, sarjana tulen BEBERAPA tahun lalu, seorang teman yang sudah mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) cuba membantu saya dengan menawarkan cara mudah untuk mendapatkan PhD. Lelaki berusia 40-an itu memberitahu, saya tidak perlu menulis tesis dan kertas kerja atau menghadiri kuliah. Memadai jika saya membayar RM15,000 untuk mendapatkan ijazah tertinggi itu, malah beliau bersedia untuk menaja saya dengan membayar yuran berkenaan. Katanya, majlis konvokesyen akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Di dalam bilik pejabatnya, saya dapati ijazah PhD miliknya dipaparkan di dinding dengan menggunakan bingkai yang mahal, manakala di kiri kanan diperaga pula gambar beliau menerima ijazah daripada universiti luar negara yang turut dihadiri bekas timbalan menteri. Beberapa hari berturut-turut, teman dan beberapa syarikat mengucapkan tahniah, dengan membayar sampai sehalaman iklan dalam akhbar tempatan di Sarawak, berhubung kejayaannya mendapatkan PhD itu. Sebenarnya, syarikat itu ialah miliknya sendiri. Tujuan ucapan tahniah itu adalah bagi memberitahu seluruh dunia bahawa dia sudah mendapat PhD dari luar negara. Sesudah itu, beliau pun menggunakan gelaran itu di pangkal namanya tanpa rasa bersalah dan malu, manakala masyarakat turut terpengaruh dan menggunakan gelaran berkenaan. Beliau ialah usahawan yang tidak lulus SPM pun dan tidak tahu bagaimana menulis esei akademik. Saya juga pernah melihat tesis PhD yang ditulis oleh seorang yang dianugerahi ijazah PhD palsu itu, dan ternyata tesis itu didapati tidak menepati ciri dan kriteria tesis PhD, termasuk cara menulis biografi dan kutipan yang tidak betul. Malah, standardnya tidak pun sampai latihan ilmiah ijazah sarjana muda. Tetapi, seperti rakan tadi, dia juga menggunakan gelaran PhD dan diberi ucapan tahniah oleh rakannya, kerana dia juga adalah orang yang ada kedudukan dalam masyarakat. Menggunakan gelaran sosial dan gelaran akademik seperti Datuk, PhD, dan sebagainya sudah menjadi satu kegilaan di Malaysia. Kalau dapat lagi panjang gelaran itu lagi bagus kerana seolah-olah menyerlahkan kehebatan, meskipun kita hairan apakah sumbangan dan jasa besarnya sehingga memungkinkan dia diberi anugerah Datuk. Malah, kini ada yang sanggup menggunakan gelaran profesor. Sesungguhnya, tidak kira usahawan, ahli politik, pakar motivasi atau penyanyi, mereka seboleh mungkin ingin digelar Dr atau Datuk, malah kalau dapat gelaran Datuk dan Dr sekali gus, lagi bagus. Ya, bukan tiada pakar motivasi dan usahawan di negara ini yang menggunakan gelaran Datuk dan Dr palsu. Ketika lelaki pertama tadi menawarkan jalan ekspres untuk saya mendapatkan PhD, saya sebenarnya sedang gigih melakukan penyelidikan dan penulisan, dengan membaca hampir semua buku dalam bidang yang saya selidiki, iaitu hubungan media dan politik untuk PhD saya. Tidak keterlaluan dikatakan, selagi ada buku berkenaan di rak buku di mana-mana perpustakaan dan Amazon.com, pasti akan ditelaah dan dibeli. Perjalanan yang dilalui adalah sukar, panjang dan berliku-liku sebelum akhirnya, selepas lima tahun baru saya berjaya meraih ijazah tertinggi itu. Jadi, bagaimanakah, ada orang yang dapat meraih PhD dalam tempoh kurang daripada tiga bulan, tanpa perlu melalui proses dan saringan yang sepatutnya? Bagi komuniti akademik, mereka amat mengutamakan nilai kesarjanaan, keintelektualan dan keilmuan dan bukannya gelaran mudah. Yang diutamakan ialah sumbangan baru kepada korpus ilmu yang diselidiki meskipun proses itu memakan masa, tenaga dan wang ringgit. Kesungguhan menekuni disiplin ilmu dalam bidang kepakaran menjadi tunjang kegiatan. Calon perlu melalui proses kerapian akademik yang rumit membabitkan pelbagai peringkat, termasuk membentangkan cadangan dan hasil penyelidikan serta penulisan berkali-kali, membetulkannya, menghadiri kursus kaedah penyelidikan, menghadiri tempoh minimum, dan menghadiri viva atau ujian lisan, sebelum diperakukan oleh pihak senat universiti. Justeru, untuk mendapatkan PhD tulen, seseorang perlu melakukan penyelidikan, pembacaan yang luas dan mendalam, mempersembahkan dapatan dan analisis kajiannya mengikut format dan piawaian ditetapkan, bukannya sekadar mengemukakan resume atau rencana yang dihasilkan. Sudah tentu, seperti dinyatakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kita tidak mahu lahirnya ilmuan palsu dan pemegang gelaran palsu dalam masyarakat. Adakah kita mahu dilabelkan sebagai masyarakat yang hanya mengejar gelaran sosial dan akademik palsu tanpa memikirkan kesan dan implikasinya kepada diri, masyarakat dan negara? Hasrat kita untuk menjadikan negara ini sebagai hub kecemerlangan pendidikan serantau tentu akan terjejas jika gejala ini tidak dibendung. Jika gejala ini dibiarkan, golongan pemegang gelaran palsu ini akan merosakkan reputasi dan imej pemegang gelaran Datuk dan Dr yang tulen. Bagi ilmuwan tulen, detik mendapat PhD hanya langkah pertama untuk perjalanan jauh yang terbentang sedangkan bagi ilmuwan palsu dengan ijazah palsu, itu adalah titik akhir. Mereka adalah umpama kerbau yang membawa lumpur, yang boleh menyebabkan yang lain terpalit. Kita tidak boleh membiarkan hanya kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga. Seperti perbuatan penipuan yang lain, usaha mendapatkan Datuk dan PhD palsu dapat dianggap sebagai satu jenayah. Kita tidak harus membiarkan mereka yang ada kedudukan dan duit dalam masyarakat merosakkan nilai dan prinsip. Mereka yang ada prinsip dan etika, tidak akan mudah tergoda oleh gelaran palsu. Mungkin mereka boleh menipu orang lain, tetapi sampai bilakah mereka boleh menipu diri sendiri, isteri dan anak? Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

Comments are closed.