Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang dengan jumlah kemasukan pelajar Melayu ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang semakin berkurangan berbanding kaum lain.-Utusan Malaysia

Dr. Mahathir bimbang

 

Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

SEPANG 29 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang dengan jumlah kemasukan pelajar Melayu ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang semakin berkurangan berbanding kaum lain. Bekas Perdana Menteri itu mengaitkan fenomena itu dengan perpecahan orang Melayu yang akan mengakibatkan kerajaan menjadi lemah sehingga terpaksa akur kepada pelbagai tuntutan. Menurut beliau, ini termasuk soal dasar meningkatkan peluang pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tidak dapat dikekalkan. ”Keadaan sudah berubah kerana bermacam-macam sebab antaranya orang Melayu berpecah, ini kerana ada pemimpin-pemimpin yang tidak menjalankan tugas. ”Ini mengakibatkan kerajaan tidak dapat dikuasai sepenuhnya dan apabila kerajaan lemah dari segi perwakilan maka pelbagai tuntutan dibuat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 82 bakal pelajar perubatan tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Universiti Al-Azhar, Mesir di Kem Bina Negara, Tanjung Rhu di sini semalam. Majlis tersebut anjuran Yayasan Generasi Gemilang (Y2G) MAIWP. Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MAIWP, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bekas Duta Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir. Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, pada sesuatu masa jumlah pelajar di IPTA hampir sama dengan universiti swasta. Jelasnya, masalah jurang pelajar Melayu dengan kaum lain semakin melebar apabila universiti swasta tidak mempunyai sebarang kawalan dalam membuat pengambilan pelajarnya. ”Kerajaan tidak mampu untuk mempertahankan dasar lama dalam memberikan pelajar Melayu lebih peluang melanjutkan pelajaran dan apa yang sedikit pun sedang dituntut oleh pihak lain. ”Kita terpaksa kurangkan kemasukan pelajar Melayu di universiti awam tetapi swasta bebas untuk menerima penuntut, kita bukan sahaja tidak dapat kekalkan jumlah pelajar Melayu tetapi kena kurangkan anak Melayu untuk mendapat pelajaran tinggi,” katanya. Dr. Mahathir berkata, pihaknya bimbang pada suatu hari nanti, keadaan kembali sebagaimana di zaman beliau menuntut di King Edward VII Medical College, Singapura apabila tidak ramai pelajar Melayu mendapat peluang melanjutkan pelajaran. ”Pada masa itu, daripada 77 orang penuntut perubatan dan pergigian, hanya tujuh sahaja pelajar Melayu termasuk saya dan isteri saya (Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali). ”Di zaman itu British tidak mementingkan peluang pelajaran kepada anak-anak Melayu,” katanya. Sementara itu, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Mahathir berkata, kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah kekurangan pelajar-pelajar Melayu di IPT. ”Jumlah kita (pelajar Melayu) secara menyeluruh sebenarnya rendah sama ada dalam negeri atau di luar negeri,” katanya. Justeru, beliau menyarankan institusi-institusi yang mempunyai kemampuan kewangan dapat tampil menaja para pelajar Melayu yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Dalam pada itu, Wan Mohamad berkata, MAIWP merancang untuk menaja lebih ramai pelajar perubatan ke Universiti Al-Azhar pada masa depan. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah tajaan tersebut. ”Setakat ini sudah empat pengambilan dilakukan di mana semua pelajar tersebut ditaja dari segi yuran pengajian dan wang poket. ”Jadi saya harap umat Islam dapat terus meningkatkan pembayaran zakat kepada MAIWP bagi membolehkan lebih ramai pelajar dapat ditaja,” katanya.

Comments are closed.