Khaled jawab kebimbangan Dr. Mahathir Utusan Malaysia

Khaled jawab kebimbangan Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengakui jumlah pelajar Melayu dalam bidang kritikal di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) agak rendah berbanding kaum lain di negara ini. Bagaimanapun, katanya, bilangan pelajar Melayu semakin meningkat di IPTA tetapi kebanyakannya tertumpu dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan. ‘‘Secara umumnya jumlah pelajar Melayu di IPTA semakin meningkat. Peningkatan itu adalah kesan daripada sistem meritokrasi yang diperkenalkan pada 1999. ‘‘Cuma diakui bilangan mereka agak rendah dalam bidang kritikal dan popular seperti perubatan dan kejuruteraan berbanding kaum lain,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bimbang dengan jumlah kemasukan pelajar Melayu ke institusi pengajian tinggi (IPT) yang semakin berkurangan berbanding kaum lain. Mengulas lanjut, Mohd. Khaled berkata, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan itu bagi memastikan bilangan tersebut dapat diimbangi dengan kaum lain secara berperingkat. Katanya, walaupun pelajar Melayu tidak menguasai bidang kritikal tetapi peluang pekerjaan masih luas untuk mereka. ‘‘Tidak bererti gagal menguasai bidang kritikal sukar mendapat pekerjaan. Masih banyak peluang kerja menanti mereka yang berkemahiran,’’ jelasnya

Comments are closed.