Melahirkan graduan -Rencana Berita Harian

Melahirkan graduan

PELAN Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 27 Ogos 2007. Pelan itu menggariskan tujuh teras strategik iaitu meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti; menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran; memperteguh penyelidikan dan inovasi; mempergiatkan pengantarabangsaan; membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan memperkukuh sistem penyampaian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Agenda Kritikal yang sudah dikenal pasti dalam ketujuh-tujuh teras PSPTN terbabit ialah governan (autonomi), kepimpinan, akademia, pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan, pengantarabangsaan, kebolehpasaran graduan dan universiti Apex, MyBrain15, pembelajaran sepanjang hayat, audit prestasi akademik, pembiayaan pelajar, institusi pengajian tinggi swasta, Tabung Pembangunan Modal Insan, Sistem Penyampaian KPT, pembangunan holistik pelajar, politeknik dan kolej komuniti dan akademia-industri. PSPTN dilaksanakan dalam empat fasa antara 2007 hingga melangkau 2020. Sehingga Disember 2008, dua Laporan Kemajuan Pelaksanaan PSPTN dibentangkan kepada kerajaan iaitu yang pertama bagi tempoh Ogos 2007 hingga Jun 2008 dan laporan kedua bagi tempoh Julai hingga Disember 2008. Kedua-dua laporan itu sudah dibentangkan mengikut kemajuan pelaksanaan bagi setiap tujuh Teras Strategik PSPTN.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagi teras governan atau autonomi, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 November 2008 dan di Dewan Negara pada 18 Disember 2008, dan mula dikuatkuasakan 1 Februari lalu. Akta itu memperkemas dan memperkukuhkan tadbir urus institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Beliau berkata, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Pindaan) sudah diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Mac 2009 dan di Dewan Negara pada 8 April 2009 dan berkuatkuasa pada 1 Jun lalu. Perlembagaan bagi 18 IPTA (tidak termasuk UiTM dan UIAM) sedang dipinda bagi memperkemaskan pengurusan IPTA.

Tidak ketinggalan, projek pembangunan kampus AKePT di Nilai, Negeri Sembilan membabitkan kos RM105 juta sudah dimulakan pembinaannya pada 1 Disember tahun lalu dan dijangka siap pada 20 Mac 2011.

Untuk mencapai kecemerlangan pengajian tinggi, semua IPTA akan melaksanakan Pelan Komprehensif Pembudayaan Intelektual dan Kesarjanaan, Pelan Penghargaan dan Sanjungan, Pelan Pengurusan Tenaga Akademik dan Pelan Pengukuhan Wibawa, Integriti dan Profesionalisme Tenaga Akademik.

Semua pelan itu akan dilaksanakan di semua IPTA pada 2010 manakala pada 2015, ia dilaksanakan oleh 10 peratus IPTS dan pada 2020 dilaksanakan di semua IPT. Sehingga 30 Jun 2009, enrolmen pelajar di 20 IPTA, 514 IPTS, 27 politeknik dan 37 Kolej Komuniti sudah meningkat sebanyak 9.2 peratus atau seramai 77,731 orang iaitu seramai 925,216 orang berbanding 847,485 orang pada 30 Jun 2008 manakala pada 30 Jun 2007 adalah seramai 748, 130 orang.

Terdapat 970 program akademik ditawarkan di IPTA yang merangkumi peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana. Sebanyak 98 program akademik atau 10.1 peratus sudah disemak berdasarkan hasil pembelajaran, kemahiran insaniah dan taksonomi dalam tempoh enam bulan mulai November 2008 hingga April 2009.

Bagi aspek penyelidikan dan pembangunan, Mohamed Khaled berkata, sebanyak 12,532 penyelidikan dilaksanakan oleh IPTA dan daripada jumlah itu, sebanyak 4.3 peratus atau 543 produk penyelidikan sudah dikomersialkan dan 313 produk lagi berpotensi untuk dikomersialkan. Sasaran pengkomersialan pada 2010 adalah sebanyak lima peratus dan pada 2020 sebanyak 10 peratus.

“Dalam soal pengantarabangsaan, seramai 69,154 pelajar antarabangsa daripada lebih 150 negara, kebanyakannya dari Indonesia, China dan negara Asia Barat sedang menuntut di IPTS dan IPTA berbanding dengan 50,788 pelajar pada 31 Mac 2008. Ini menunjukkan peningkatan pelajar antarabangsa sebanyak 26.5 peratus. Dengan jumlah itu, sasaran seramai 80,000 pelajar antarabangsa menjelang 2010 boleh dicapai.

“Seramai 1,261 tenaga pengajar dari luar negara sudah dilantik di 20 IPTA atau kira-kira 5.6 peratus daripada jumlah pensyarah sedia ada,” katanya sambil menambah bagi mempergiatkan lagi pengantarabangsaan, kementerian itu akan terus mendapatkan lebih banyak pengiktirafan luar negara bagi menambah nilai ijazah yang diperoleh selepas tamat pengajian di IPT Malaysia.

Selain itu, bagi melahirkan graduan berkualiti yang memenuhi kehendak pasaran dan membantu graduan mendapat pekerjaan, kementerian itu sudah melaksanakan beberapa usaha antaranya membangunkan Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah dan Modul Asas Pembudayaan Keusahawanan yang diajar di semua IPTA.

“Kita juga menjalankan program penempatan dalam industri bagi tempoh dua hingga enam bulan. Antaranya melalui kerjasama dengan syarikat tempatan bagi menjalankan Program Pentauliahan Profesional (3P) untuk pelajar tahun akhir bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan menganugerahkan pensijilan berasaskan vendor daripada syarikat perisian komputer terkenal.

“Malah kita sedang menjalankan kajian bagi mewujudkan satu pelan induk latihan industri yang berstruktur untuk diterima pakai oleh IPTA. Membantu siswazah yang sudah tamat pengajian untuk mengikuti program latihan khusus dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak industri seperti Khazanah Nasional Berhad, Multimedia Development Corporation (Mdec), Bank Negara Malaysia dan beberapa syarikat tempatan lain.

“Kita turut menjalankan Program Penjodohan Siswazah dengan industri melalui kerjasama dengan syarikat tempatan yang mencari dan menempatkan siswazah di industri yang bersesuaian,” katanya.

Sehingga Jun 2009, berdasarkan kepada Kajian Pengesahan Graduan, kira-kira 78.3 peratus graduan sudah memperoleh pekerjaan dan ini termasuk yang menyambung pengajian dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian asas mereka berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 75 peratus pada 2010.

Comments are closed.