Gaji pensyarah lulusan sarjana sama gred guru sekolah rendah-Surat Berita Harian

Gaji pensyarah lulusan sarjana sama gred guru sekolah rendah

SAYA berharap paparan ini mendapat perhatian serius Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau Pendaftar Institusi Pengajian Tinggi Awam berhubung masalah dihadapi segelintir pensyarah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Baru-baru ini saya bertemu dengan tiga rakan yang sama-sama memasuki maktab perguruan pada 1980-an dan kini menjadi guru. Rakan saya ‘A’ seorang guru yang mengajar Tingkatan Enam di Pantai Timur menerima gaji gred DG48. Rakan saya ‘B’, seorang pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Ipoh juga sedang menikmati gaji DG48.

Malangnya, saya sebagai pensyarah di IPTA amat sedih kerana menerima gaji DS45 yang jauh lebih rendah daripada dua sahabat saya itu. Mendengar cerita rakan saya itu, saya hanya menelan air liur dan tersenyum apabila mereka berkata, “Lainlah gaji pensyarah universiti, kalau kita yang duduk di sekolah ini dapat gaji DG48, pensyarah universiti lebih lagilah.” Saya hanya tersenyum pahit.

Sebagai bekas guru yang berkhidmat selama 20 tahun di sekolah, kini saya memilih menjadi pensyarah di universiti tempatan. Lima tahun bertugas di universiti dengan pengalaman bekerja di sekolah selama 15 tahun. Rakan saya yang mengajar di sekolah menerima kenaikan gred gaji daripada gred DG41 ke DG44 atau DG48, jika mengajar Tingkatan Enam dalam tempoh 10 tahun perkhidmatan. Malah, ada yang lebih baik menerima gred gaji DG52 atau DG48 jika meneruskan perkhidmatan di IPG. Penstrukturan semula gaji guru di sekolah Kementerian Pelajaran beberapa tahun lalu menjadikan profesion perguruan benar-benar menarik. Nasib indah itu tidak berlaku kepada diri saya, iaitu seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana. Hari ini, gred gaji saya masih berada di gred DS45 dengan gaji pokok jauh lebih rendah daripada guru sekolah rendah yang berkelulusan diploma perguruan, apatah lagi jika dibandingkan dengan gred rakan yang mengajar di sekolah menengah yang menikmati gred DG44 atau DG48. Untuk pengetahuan, gaji saya sebagai pensyarah pada hari ini ialah sama dengan gaji guru DG32 (P1T16) yang berkhidmat di sekolah rendah atau guru DG41 (P1T10) sedangkan saya sudah berkhidmat selama 20 tahun sebagai kakitangan kerajaan. Saya pernah berbincang hal ini dengan pendaftar universiti tempat saya bertugas. Jawapan yang diberi amat menyedihkan kerana sistem gred gaji IPTA ialah DS45, DS52 untuk calon PhD dan seterusnya. Lebih malang lagi apabila saya dimaklumkan jika saya ingin mendapat gaji setaraf dengan guru (rakan DG44 atau DG48), saya diminta supaya meletak jawatan sebagai pensyarah universiti dan kembali semula bertugas sebagai guru di sekolah. Saya menelan sindiran dan cabaran itu dengan rasa keinsafan yang mendalam kerana pegawai pendaftar itu bergred DN44. Di universiti, saya terpaksa berdepan dengan KPI yang menuntut saya melahirkan graduan sarjana dan ijazah pertama, menerbitkan jurnal bertaraf antarabangsa, menerbitkan buku, membentangkan kertas kerja, menjadi pakar rujuk sosial kepada media atau masyarakat dan macam-macam lagi tugas yang melambangkan status pensyarah universiti awam. Berbanding tugas guru di sekolah, dengan gaji lumayan mereka hanya berdepan situasi pengajaran dan pembelajaran, tugas kurikulum atau aktiviti yang bagi saya tidak seberat tugas seorang pensyarah universiti. Apa yang saya harapkan ialah, pihak kementerian dapat menstruktur semula gaji pensyarah berkelulusan sarjana yang pernah bertugas sebagai guru seperti saya. Tugas dan beban pensyarah universiti hari ini kian berat dan runcing. Hal ini dibebankan lagi dengan status ‘Universiti Penyelidikan (RU)’ yang memaksa pensyarah menghasilkan satu penyelidikan bagi menentukan prestasi kerja tahunan. Bagi pensyarah yang sedang menyiapkan PhD dan tidak mendapat cuti belajar kerana faktor kekurangan kakitangan, ia kian membebankan.

PENSYARAH SARJANA MALANG, Kuala Lumpur.

Comments are closed.