Melayu terus diaib dan diperlekeh-Rejal Arbee Berita Harian

Melayu terus diaib dan diperlekeh-Rejal Arbee

APAKAH benar kini wujud semacam satu agenda yang sedang didokong puak tertentu untuk memperlekehkan Melayu? Syak wasangka sedemikian boleh saja timbul apabila meneliti pelbagai berita dan perbincangan di sesetengah akhbar serta di beberapa portal berita dan blog di alam siber. Sangkaan saya ini dikuatkan lagi berikutan perbincangan dengan beberapa rakan yang juga setuju mengenai kemungkinan perkara ini wujud. Tetapi apakah ia menjadi suatu agenda bersepadu yang sengaja diutarakan atau ia hanyalah suatu kebetulan, sukar dipastikan. Ada yang berpendapat wujudnya pelbagai berita dan perbincangan demikian di akhbar dan portal berita serta blog tertentu itu mungkin secara spontan saja, bukannya sesuatu yang terancang dan tersusun. Mungkin ya mungkin tidak. Tetapi apabila diteliti dan difikirkan dengan mendalam mengenai liputan tertentu bersabit dengan Melayu yang dimuatkan dalam akhbar dan portal berita itu, ia memberi gambaran seolah-olah ada usaha untuk memperkecil malah ada yang boleh mengaibkan Melayu. Maka timbul persoalan kenapa perkara demikian ini terus saja diberi ruang dan dibincangkan? Kalau demikianlah halnya apakah salah timbul syak terhadap kemungkinan ada satu agenda licik oleh mereka yang tidak senang dengan kedudukan Melayu di tanah tumpah darah mereka sendiri. Apa pun, perlakuan ini mungkin ada kena mengena dengan usaha untuk memperlekehkan pemerintahan sekarang yang ditunjangi Umno sebagai sebuah parti yang mendokong orang Melayu. Maka itu wujudlah segala macam hal negatif yang boleh memberi gambaran tidak menyenangkan terhadap orang Melayu. Ini termasuk tohmahan perlakuan rasuah yang dikatakan berleluasa dan kebanyakannya membabitkan Melayu sebagai penerima tanpa pula menyebut golongan yang memberi, pencapaian orang Melayu yang tidak seberapa tetapi heboh sekampung seolah-olah Melayu begitu tandus dengan pencapaian cemerlang, tidak boleh maju tanpa menerima bantuan kerana terlalu bergantung kepada kedudukan istimewa mereka hingga tidak boleh bersaing diatas landasan sama. Maka itu kontrak sosial yang wujudkan kedudukan istimewa Melayu serta kedudukan agama Islam menjadi bahan untuk diketawakan. Malah ada pula yang mempersoalkan pemilihan pemberian biasiswa tertentu kepada pelajar Melayu walhal ada pelajar bukan Melayu lebih cemerlang tetapi tidak berjaya. Ada pula yang mempersoalkan kenapa diwujudkan terlalu banyak institusi pengajian tinggi awam yang memberikan tempat kepada begitu ramai pelajar Melayu/Bumiputera yang ditohmah sebagai tidak mempunyai kelulusan secukupnya bagi melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Institusi yang menjadi sasaran tohmahan mereka ini ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM). Ini hanyalah kerana sejak setahun dua kebelakangan ini, ia memberi tempat kepada sekitar 150,000 pelajar Melayu dan Bumiputera dengan sasaran mencapai sehingga 200,000 pelajar dalam tempoh dua tahun ini. Mereka tidak pula timbulkan kedudukan Kolej Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman, kedua-duanya dipelopori MCA yang kini juga mempunyai jumlah pelajar mencecah lebih 100,000 orang, dengan lebih 90 peratus adalah kaum Cina. Dengan itu, timbul dakwaan sesetengah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi semacam kilang mengeluarkan graduan yang terlalu ramai hingga ada yang tidak dapat memperoleh pekerjaan kerana mereka dikatakan ‘unemployable’ iaitu tidak dapat diterima untuk bekerja. Juga wujud tohmahan sesetengah mereka ini berterusan memperlekeh graduan Melayu bahawa lulusan IPTA tidak boleh bersaing dengan lulusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang juga banyak diwujudkan sekarang apatah jika lulusan IPTA itu dibandingkan dengan lulusan institusi pengajian tinggi luar negara. Apa pun bukan semua IPT luar negara yang baik. Akhbar-akhbar sendiri pun ada menyiarkan bagaimana sesetengah daripada institusi itu menjual ijazah kepada sesiapa saja yang sanggup membayar tanpa menghiraukan pencapaian akademik. Demikian juga ada IPTS di sini yang lebih indah khabar dari rupa hanya kerana ada di antara institusi itu bijak mempromosikan tubuhnya hingga mencanang di mana-mana bahawa ia mendapat pengiktirafan antarabangsa. Seorang kenalan yang pernah bertugas sebagai pensyarah di salah satu institusi itu menyebut bagaimana seorang pentadbir institusi berkenaan memberitahunya jangan menggagalkan pelajarnya hanya kerana mereka itu membayar yuran tinggi walaupun pencapaian pelajar terbabit, sama dalam kerja kelas atau peperiksaan tidak mencapai tahap kelulusan. Saya juga pernah membincang dengan seorang Naib Canselor IPTA membandingkan kecemerlangan lulusan IPTA dengan graduan IPTS, iaitu bukan semua IPTS mementingkan pencapaian akademik pelajarnya. Jika dilihat syarat kemasukan, majoriti pelajar memasuki IPTA terdiri daripada mereka yang sudah disaring mengikut kelulusan akademik. Yang tidak berjaya mendapat tempat di IPTA akan memasuki IPTS. Jadi daripada asas ini saja sepatutnya kualiti pelajar IPTA tentunya lebih baik berbanding IPTS. Selain itu, IPTA juga mensyaratkan majoriti tenaga pengajar akademiknya harus mempunyai kelulusan di peringkat ‘doctorate’ manakala yang lain mesti mempunyai lulusan sarjana sekurang-kurangnya. Ini bermakna lulusan ijazah pertama saja sudah tidak memadai untuk menjadi pensyarah di IPTA. Tetapi syarat ketat demikian tidak pula ada di kebanyakan IPTS. Maka itulah di kebanyakan IPTS ramai tenaga pengajar mereka hanya terdiri daripada lulusan di peringkat ijazah pertama saja. Hanya beberapa IPTS yang didokong pertubuhan tertentu seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan yang mempunyai kaitan dengan beberapa IPT terkenal dari luar negara, mempunyai syarat ketat demikian untuk tenaga pengajar mereka. Demikian pula penyediaan kelengkapan dan kemudahan yang ada di IPTA adalah jauh lebih baik. Sememangnya, ada IPTS ditubuhkan sebagai syarikat untuk mengaut keuntungan bukannya untuk menyediakan kemudahan pengajaran, pembelajaran dan pengajian. Maka itulah ada yang menerima sesiapa saja sebagai pelajar khususnya dari luar negara tanpa mementingkan syarat kemasukan minimum asalkan boleh membayar yuran. Maka, timbullah masalah pendatang asing menggunakan sesetengah institusi itu untuk mendaftar sebagai pelajar bagi mendapatkan visa tinggal di sini untuk beberapa tahun tetapi tidak pernah menyertai kuliah pun. Sebaliknya mereka berada di sini untuk bekerja dan mencari rezeki atau menjalankan pelbagai perniagaan termasuk pembabitan dalam kegiatan haram.

Comments are closed.