Graduan UniKL perlu elak penting diri-Berita Harian

Graduan UniKL perlu elak penting diri

PUTRAJAYA: Graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) diminta tidak mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri kerana ilmu yang diperoleh bukanlah untuk kepentingan peribadi mereka semata-mata. Canselor UniKL, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata ilmu yang diperoleh itu sewajarnya dimanfaatkan untuk faedah agama, bangsa dan negara. Ilmu tanpa iman boleh terpandu ke arah bertentangan memandangkan dewasa ini banyak berlaku plagiat dan penggodaman ilmu yang merugikan banyak pihak. Perbuatan ini menunjukkan fungsi asal ilmu sudah disalahtafsir. Justeru, saya harap graduan UniKL akan menjadi graduan yang bertanggungjawab, berdaya saing, berketrampilan dan beriman,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen ke-6 UniKL di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, semalam. Hadir sama, Pro Canselor Ke-2 UniKL, Datuk Seri Idris Jusoh. Tengku Abdullah turut menyeru graduan supaya terus menabur bakti kepada masyarakat kerana ilmu yang `dipanjangkan’ untuk kesejahteraan ummah adalah ilmu yang barakah. Seramai 2, 499 graduan menerima ijazah dan diploma dalam majlis yang berlangsung selama dua hari itu. Dalam majlis itu, Tengku Abdullah turut menyampaikan Ijazah Doktor Kehormat Teknologi Kemahiran Warisan kepada tokoh dalam industri pembuatan bot tanah air, Abdullah Muda, 72.

Comments are closed.