IPTS wajib ambil lesen sebelum lantik pensyarah-Berita Harian

IPTS wajib ambil lesen sebelum lantik pensyarah

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi mewajibkan semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengemukakan permohonan mendapatkan lesen sebelum dibenar melantik pensyarah terutama membabitkan lulusan ijazah doktor falsafah (PhD). Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata arahan itu tertakluk Akta 555 IPTS bagi memastikan institusi berkenaan mematuhi peruntukan melantik pensyarah di kalangan graduan universiti diiktiraf dan PhD diperakui. Beliau berkata, tindakan itu juga sebahagian langkah kementerian mengawal kualiti pendidikan tinggi negara di samping mengekalkan integriti penjawat akademik negara. “Sebagai penyedia pendidikan tinggi berkualiti, kementerian tidak akan berkompromi dengan syarat pengambilan pensyarah. “Ini mencerminkan kewibawaan institusi pengajian dan imej negara sebagai pusat pendidikan tinggi serantau. “Jika IPTS bercadang melantik 20 pensyarah dengan syarat minimum ijazah sarjana muda untuk mengajar pelajar sijil atau diploma, mereka perlu mendapatkan lesen bagi setiap individu yang akan dilantik,” katanya. Mohamed Khaled menjelaskan kementerian hanya akan mengeluarkan lesen apabila IPTS mengemukakan permohonan lengkap termasuk menyertakan ijazah tertinggi serta transkrip calon pensyarah dilantik untuk dinilai. Beliau berkata, IPTS wajib memenuhi syarat berkenaan bertujuan mengekalkan kewibawaannya sebagai penyedia pendidikan berkualiti serta berpegang teguh prinsip pengamal akademik beretika. Mengenai dakwaan mengatakan wujud pemberian PhD segera, katanya, ia tidak membabitkan ahli akademik sama ada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun IPTS. Malah di IPTS, beliau berkata, syarat pengambilan pensyarah lebih ketat berbanding IPTA yang diberi autonomi berbuat demikian. Jika ada dakwaan wujud pengeluaran PhD segera, beliau mengalu-alukan mereka yang mempunyai maklumat mengenainya tampil dan kementerian sedia menjalankan siasatan serta mengenakan tindakan tegas. “Kami yakin sebelum seseorang pensyarah mengikuti pengajian peringkat PhD, pihak universiti akan mencadangkan institusi pengajian sesuai dan mempunyai rekod pencapaian akademik cemerlang,” katanya.

Comments are closed.