MQA sedia panduan khas kawal penganugerahan ijazah doktor falsafah-Berita Harian

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

MQA sedia panduan khas kawal penganugerahan ijazah doktor falsafah

AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) menyediakan garis panduan khas kepada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam melaksanakan program ijazah doktor falsafah (PhD). Ketua Eksekutif MQA, Datuk Dr Syed Ahmad Hussein, berkata menerusi Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), pihaknya menetapkan syarat kelayakan dengan mengambil kira penyelidikan dan hasil pembelajaran kompleks dijayakan pelajar. Beliau berkata, penetapan itu juga memberi tumpuan khusus terhadap aspek tertentu, termasuk tugasan bertulis dalam bentuk tesis atau disertasi. Berdasarkan ketetapan MQF, katanya, IPT terbabit perlu memastikan setiap tugasan dilaksanakan pelajar mengikut jadual sebelum dianugerahkan PhD. “Kerangka itu mengambil kira bebanan pelajar sepanjang tempoh pengajian dan hasil penyelidikan yang dipersetujui pihak universiti. “Apabila segala ketetapan dilaksanakan sebaik mungkin, universiti menerusi persetujuan senat akan menganugerahkan PhD kepada pelajar. “Pengiktirafan dilaksanakan menerusi pentauliahan dalam bentuk ijazah dikeluarkan universiti lengkap butiran yang boleh dirujuk kepada pihak pengurusan IPT terbabit,” katanya. Begitu juga anugerah ijazah itu daripada IPT luar negara, Syed Ahmad berkata, pihaknya boleh mengesan ketulenannya dengan mengemukakan butiran antaranya tahun pengajian, bidang kajian dan tajuk tesis ke universiti berkenaan. Beliau berkata, agensi itu menerusi badan akreditasi antarabangsa dapat mengesan ketulenan sesuatu PhD berdasarkan rekod terdahulu berdasarkan butiran pada ijazah dikeluarkan. Katanya, transkrip atau testimonial juga boleh dijadikan bahan rujukan dari semasa ke semasa. “Kami boleh mengesan secara terperinci pencapaian pelajar sepanjang tempoh pengajian, antaranya beban belajar, hasil pembelajaran dan tugasan bertulis yang dilaksanakan sebelum dianugerahkan PhD. “Di peringkat antarabangsa pula, MQA boleh mendapat maklumat lanjut mengenai kriteria pemberian ijazah berkenaan sama ada ia menerusi kajian sepenuh masa atau separuh masa. “Malah, ada juga IPT luar negara mengkreditkan jumlah pengalaman kerja pelajar atau penulisan yang diterbitkan dalam jurnal berkualiti (published work) sebagai sebahagian penilaian sepanjang pengajian,” katanya. Bagi mereka yang bertugas dalam sektor awam pula, Syed Ahmad berkata, proses mengesan ketulenan ijazah dimiliki lebih mudah kerana Jabatan Perkhidmatan Awam mempunyai pangkalan data IPT diiktiraf. Katanya, setiap proses kenaikan pangkat dilaksanakan dengan merujuk ijazah kakitangannya ke universiti berkaitan untuk pengesahan. “Ini bermakna tidak akan berlaku seorang penjawat awam itu memiliki PhD diragui,” katanya yang kini sedang mengukuhkan jaringan MQA dengan lebih banyak badan akreditasi antarabangsa.

Comments are closed.