Sikap kakitangan awam lagak ‘tuan’ wajar diubah -Berita Harian

Sikap kakitangan awam lagak ‘tuan’ wajar diubah

Oleh Abdul Razak Hussin

SELEPAS solat Asar, 21 Ogos lalu, saya sangat terdorong untuk menelefon bapa. Menjadi amalan sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu saya menghubungi beliau. Mendengar suaranya di hujung sana, hati rasa gembira. Seperti biasa bertanya khabar terutama kesihatannya. Paling penting pada petang itu ialah saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan serta memohon ampun dan maaf atas segala kesalahan dan kealpaan tanggungjawab sebagai anak. Bapa sebak bila saya menyebutkan itu semua walhal setiap tahun saya mengucapkan dan memohon yang sama. Jam 7.30 pagi 22 Ogos lalu bersamaan 1 Ramadan 1430H (Sabtu), ketika saya bersiap-siap menghadiri aktiviti pelajar di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telefon rumah berdering-dering. Terdengar suara cemas ibu tiri menyuruh saya pulang kerana bapa tidak bangkit daripada tidur ketika hendak bersahur. Saya terus menggesa ahli keluarga bersiap untuk pulang ke Kota Tinggi, Johor. Kira-kira jam 10.30 pagi ketika saya melintasi Pagoh, adik lelaki menghubungi dan dengan suara tersekat-sekat memaklumkan bapa sudah kembali ke rahmatullah di Hospital Kota Tinggi. Saya segera memberhentikan kereta di tepi jalan dan tidak sanggup lagi memandu kenderaan. Lantas, isteri mengambil alih pemanduan. Tidak lama selepas itu, saya mula menerima SMS daripada pelbagai pihak termasuk Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Shahabudin yang memberikan ucapan takziah dan kata-kata semangat. Demikian juga saudara mara dan kawan-kawan. Syukur saya sempat sampai di rumah untuk bersama-sama memandi dan mengurus jenazah bapa. Bagi pihak keluarga, saya menyampaikan ucapan terima kasih atas kehadiran yang begitu ramai serta memohon kemaafan bagi pihak arwah bapa sebelum jenazah dibawa ke masjid untuk disembahyang dan dikebumikan. Ramai mengetahui keakraban saya dengan bapa, terutama selepas pemergian ibu pada 1999. Bapa yang menjadi pengunjung berjadual ke Hospital UKM untuk pemeriksaan kesihatan. Mereka tahu, saya biasa menghantar bapa pulang ke kampung selepas waktu pejabat, sampai di kampung tengah malam dan keesokan paginya saya tetap berada di pejabat semula. Kalaulah itu dikatakan pengorbanan, sebenarnya ia hanya terlalu kecil jika dibandingkan dengan pengorbanan ibu bapa membesar dan memberi pendidikan serta berkorban segala-galanya untuk kita. Ketika kecil, saya biasa dibawa bapa ke mana-mana dengan basikalnya, termasuk paling diingati ialah pergi ke Pejabat Daerah. Oleh kerana kawasan itu sebuah daerah kecil, seorang Penolong Pegawai Daerah ditempatkan di situ dengan dibantu beberapa kakitangan. Namun, orang kampung memanggilnya ‘Tuan DO’. Saya masih ingat, pada 1960-an, mengunjungi Pejabat Daerah saat paling digeruni. Pada waktu itu, banyak urusan memerlukan tandatangan dan cop Pejabat Daerah. Menjadi kebiasaan pula, orang kampung yang rata-ratanya tidak berpelajaran diherdik petugas ketika berurusan. Orang kampung hanya pasrah dengan herdikan. Itulah yang menyebabkan orang kampung sangat gerun mengunjungi pejabat daerah yang begitu tidak meraikan. Justeru, bapa berulang kali mengingatkan saya ‘supaya apabila besar nanti menjadi DO yang baik, hormat orang, bantu orang, jangan menyusahkan orang dan berlemah- lembut’. Namun, hasrat bapa untuk melihat saya menjadi DO tidak kesampaian. Cukup sekadar menjadi seorang pegawai kecil di sebuah universiti yang terus berusaha untuk menjadi seorang pegawai yang baik dan berciri seperti pesanan bapa. Oleh demikian, jika pada hari ini, masih ada pegawai atau kakitangan lain di mana-mana pejabat awam yang suka mengherdik orang ramai, bersikap acuh tak acuh, tidak memperlihat kesediaan untuk membantu, membanggakan kedudukan dan pangkat, berlagak ‘tuan’, bertutur dan bertingkah kasar serta menyukarkan sesuatu proses, saya berpendapat mereka sebenarnya masih terperangkap dalam suasana ‘menjajah’ lebih 40 tahun lampau. Ubahlah sikap dan ia akan mengubah persepsi masyarakat. Jangan lupa kedudukan, pangkat dan jawatan disandang hanya pinjaman daripada masyarakat dan ada hutang perlu dibayar kepada mereka. Walaupun penjaga kubur itu sudah pergi, pesannya yang sangat mudah sangat relevan buat saya khususnya dan mungkin seluruh rakan penjawat awam umumnya. Penulis ialah Ketua Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat UKM

Comments are closed.