Universiti terbaik dunia-Berita Harian

Universiti terbaik dunia

Oleh Basir Zahrom basir@bharian.com.my

Kejayaan program pengantarabangsaan bantu UM duduki tempat 180, UTM ke-320 PERANCANGAN dan usaha bersungguh-sungguh meningkatkan kecemerlangan antara faktor dua universiti tempatan mencapai kedudukan lebih baik dalam penarafan universiti terbaik dunia, tahun ini. Berdasarkan penarafan Times Higher Education – Quacquarelli Symonds (THE-QS) itu, Universiti Malaya (UM) sekali lagi tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik apabila menduduki tempat 180 selepas kali terakhir 192 tiga tahun lalu, melonjak 50 tangga berbanding kedudukan 230 tahun lalu. Manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula turut berbangga kerana berjaya melonjakkan 36 anak tangga apabila menduduki tempat 320 berbanding ke-356 tahun lalu. Dalam pada itu, tiga lagi universiti tersenarai dalam penarafan itu mencatat penurunan kedudukan, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada 291 berbanding tangga 250 tahun lalu, Universiti Sains Malaysia (314/313), Universiti Putra Malaysia (345/320). Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon, menyifatkan peningkatan itu adalah hasil usaha warga universiti itu yang bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kecemerlangan. “Dengan penyertaan institusi makin bertambah dalam penarafan THE-QS saban tahun, peningkatan kedudukan ini dilihat lebih berkualiti berbanding tahun sebelumnya kerana persaingannya bertambah sengit. “Antara usaha drastik yang kami lakukan sejak setahun lalu termasuk pengambilan 300 kakitangan dan kira-kira 1,000 pelajar antarabangsa untuk meningkatkan tahap pengantarabangsaan UM. “Fokus UM kini lebih tertumpu kepada pelajar pascaijazah, penyelidikan dan penerbitan berkualiti, selain memastikan tiada kakitangan akademik terkecuali menulis serta menerbitkan jurnal kerana ia kriteria menyebabkan universiti tempatan kurang mendapat markah dalam penilaian THE-QS,” katanya. Berdasarkan penarafan organisasi berpangkalan di London itu, enam kriteria menjadi ukuran iaitu penilaian rakan sejawatan (kalangan ahli akademik), pendapat majikan (industri), nisbah pensyarah dengan pelajar, rujukan dibuat penyelidik lain terhadap penerbitan kakitangan universiti dinilai, bilangan pelajar dan kakitangan antarabangsa. Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang, pula berkata kejayaan itu hasil perancangan dan usaha bersungguh-sungguh universiti itu meningkatkan kerjasama dalam pelbagai program pengantarabangsaan. Beliau berkata, antaranya menjalin hubungan dan mewujudkan usaha sama dengan universiti, pusat penyelidikan dan badan profesional terkemuka di luar negara. “UTM mengadakan kerjasama dengan banyak universiti di seluruh dunia, termasuk penyelidikan dan pembangunan, pertukaran akademik dan penerbitan serta mengambil bahagian dalam seminar peringkat antarabangsa. “Kerjasama turut diadakan dengan universiti ternama seperti Harvard, Massachusetts Institute of Technology, Cambridge, Imperial College dan Oxford menerusi program penghantaran mahasiswa dan kakitangan. “Pertambahan jumlah penuntut antarabangsa dari lebih 48 negara, terutama bagi program ijazah dan pascaijazah kini kira-kira 3,000 orang turut menyumbang kepada peningkatan kedudukan UTM,” katanya. Zaini berkata, peningkatan itu juga menunjukkan program akademik universiti itu mendapat pengiktirafan antarabangsa dari segi kualiti dan kredibilitinya setanding universiti terkemuka luar negara. Beliau berkata, UTM berusaha menjadi pemangkin utama di peringkat antarabangsa dalam bidang akademik bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus pelajar pascaijazah dan lima peratus ijazah pertama di kalangan pelajar luar negara menjelang 2013. “Ini selari dengan usaha berterusan memperbaiki kualiti akademik program pascaijazah dan ijazah pertama dengan membentuk kerjasama dengan industri utama dalam pelbagai sektor. “UTM juga disenarai dalam 300 universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan sains hayat, di samping mempunyai bilangan fakulti bidang kejuruteraan paling banyak di negara ini,” katanya. Selain itu, beliau menjelaskan, 70 peratus daripada 1,800 kakitangan akademiknya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat, juga terbanyak di negara ini. Zaini berkata, universiti itu turut mengadakan trransformasi penyelidikan dan inovasi dengan menstruktur semula pusat penyelidikan supaya lebih efektif dan dinamik. Usaha itu, katanya, untuk menggalakkan penyelidik aktif dalam pelbagai disiplin penyelidikan berimpak tinggi, strategi penyelidikan terkini dan penggerak dalam menghasilkan penulisan yang boleh dijadikan rujukan. Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, berkata, dari segi kriteria menggunakan data kuantitatif markah universiti berasaskan pertanian meningkat, tetapi penilaian membabitkan persepsi seperti penilaian rakan sejawatan dan pendapat majikan menurun. Beliau berkata, faktor penurunan itu mungkin disebabkan dua kriteria berdasarkan persepsi itu kerana ia menyumbang 40 peratus daripada jumlah markah keseluruhan.

Comments are closed.