Bicara Akademia: Skop penyelidikan Berita Harian, Basir Zahrom

Bicara Akademia: Skop penyelidikan IPT perlu hasilkan produk boleh dikomersial, penuhi keperluan dan kehendak masyarakat IKUTI pandangan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Madya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, mengenai perlunya institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menghasilkan produk penyelidikan untuk menyelesaikan masalah masyarakat seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Basir Zahrom.

PENYELIDIKAN adalah aktiviti utama IPT dalam menghasilkan penemuan baru selaras dengan matlamat menjadikan inovasi antara sumber penjana ekonomi negara. Pada masa sama, ia juga antara bidang yang mampu membantu masyarakat mendapatkan keperluan bermanfaat dan memudahkan kehidupan seharian. Bagaimanapun, kini sebahagian besar hasil penyelidikan di IPT hanya menjadi produk akademik dan kebanggaan golongan berkenaan. Sehubungan itu, hala tuju dan matlamat penyelidikan dijalankan IPT seharusnya turut menumpukan bidang yang menjadi keperluan dan penyelesaian masalah dihadapi masyarakat. Dalam hal ini, masyarakat mengharapkan penyelidikan menghasilkan inovasi baru yang meyakinkan dari segi fungsinya menyelesaikan masalah sekali gus memudahkan kehidupan seharian. Jadi, sewajarnya penyelidik di IPT mengambil kira pelbagai aspek yang dikehendaki masyarakat terlebih dulu sebelum memulakan sesuatu penyelidikan. Jika mahu penyelidikan itu diterima masyarakat, kerja penyelidikan harus menumpukan aspek penambahbaikan, tambahan pula setiap produk dikomersialkan memerlukan pelanggan. Antara perkara yang perlu difokus dan diberi keutamaan ialah produk berkenaan hendaklah boleh diterima pelanggan atau masyarakat tanpa was-was. Dalam hal ini, masyarakat sentiasa memikirkan sesuatu produk itu selamat, khususnya dari segi kesihatan, fizikal atau agronomiknya. Oleh itu, penyelidik haruslah lebih sensitif terhadap kehendak masyarakat itu bukan hanya mengikut penerimaan akademik atau memenuhi cita rasa antarabangsa yang akhirnya produk penyelidikan itu tidak diketahui ke mana tujunya. Bagi memudahkan masyarakat mendapat maklumat, hasil penyelidikan juga perlu lebih kerap dihebahkan terutama melalui media massa tempatan. Selain itu, produk penyelidikan yang bersesuaian untuk kegunaan masyarakat tempatan juga boleh dicuba prototaipnya di pasar malam, pasar tani, pasar raya mahu pun pasar raya. Langkah itu bukan saja untuk tujuan promosi, malah secara tidak langsung dapat melonjakkan potensi nilainya di pasaran. Promosi penting untuk penjenamaan, jadi kerjasama erat antara pihak industri dalam membantu IPT dari segi kewangan dan peralatan serta strategi pemasaran yang baik akan dapat menaikkan nama sesuatu produk. Hal itu mampu menaikkan imej negara dalam sektor pembuatan melalui jenama tempatan di pasaran antarabangsa. Sebenarnya, penghasilan produk penyelidikan dapat membantu masyarakat dalam banyak perkara, termasuk kesihatan, pemakanan, pertanian, permainan kanak-kanak, produk kecantikan, perkakasan rumah, alat keselamatan serta permotoran. Sebagai contoh, di UTeM, banyak produk penyelidikan dihasilkan dan sebahagiannya sudah pun dikomersialkan lebih-lebih bagi projek yang mendapat kerjasama dengan industri berkaitan. Antara produk universiti ini yang dikomersialkan ialah Kids Cashier, Automated Rated Messaging System, LED Rope Light Controller, Pro S Vehicle Professional Saver (jimat bahan api sebanyak 45 peratus), Flood Observatory System, Air Pressure Plug, Automatic Tyre Pressure Controller dan Blackout Alert System.

Comments are closed.