PENDIDIKAN Aswara perlu dana RM5j bantu pelajar -Berita Harian

PENDIDIKAN

Aswara perlu dana RM5j bantu pelajar Oleh Norliza Abdullah lizz@bharian.com.my

AKADEMI Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) memerlukan dana sekitar RM5 juta lagi bagi membiayai kos pengajian pelajar yang semakin meningkat setiap tahun. Rektornya, Datuk Omar Awang, berkata dana itu digunakan untuk pinjaman pelajar bagi membiayai pengajian dengan dikenakan caj perkhidmatan dua peratus setahun. Beliau berkata, keperluan itu meningkat berbanding RM2 juta sepanjang tempoh dua tahun lalu berikutan peningkatan ramai pelajar. Katanya, pelajar perlu membayar semula pinjaman itu setelah menamatkan pengajian dan tempoh ditetapkan berdasarkan perjanjian dipersetujui bersama. “Setakat ini hampir 50 peratus pelajar Aswara yang mengikuti pengajian diploma dan ijazah sarjana muda menerima bantuan ini yang diuruskan Bahagian Akaun Amanah Aswara. “Memandangkan Aswara di bawah pengurusan Kementerian Penerangan Komunikasi Kesenian dan Kebudayaan, pelajarnya tidak layak mendapat pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. “Aswara perlu menyediakan dana sendiri bagi menampung keperluan pelajar terutama di kalangan mereka daripada keluarga kurang mampu,” katanya kepada Berita harian, baru-baru ini. Setakat ini, seramai 800 pelajar mengikuti pengajian diploma dan ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang, antaranya paling mendapat permintaan iaitu Pengajian Seni Muzik, Pengajian Seni Teater dan Pengajian Seni Filem. Dalam perkembangan berkaitan, Omar berkata, pihaknya bercadang menubuhkan Orkestra Aswara dianggotai 100 ahli di kalangan pelajar dan kakitangannya. Beliau berkata, penubuhan itu sejajar dengan objektif akademi itu memperkasakan seni muzik dalam usaha membudayakan kesenian kebangsaan. Katanya, orkestra memberi tumpuan kepada muzik tradisional dan kontemporari itu akan memberi peluang pelajar aktif menjayakannya. “Usaha ini membantu mempromosikan Aswara sebagai institusi kesenian unggul di negara ini,” katanya Omar menjelaskan, pihaknya juga terus memperkasakan program pendidikan dan mulai sesi pengajian akan datang Aswara akan menyediakan tempat untuk pelajar luar negara antaranya dari Singapura. Bagi memperkasakan program sedia ada pula, katanya, akademi itu mengadakan kerjasama pintar dengan Institut Seni Indonesia berpangkalan di Denpasar, Bali. “Kerjasama ini dilaksanakan menerusi pertukaran maklumat dan kepakaran dalam bidang kesenian. “Selain itu, ia juga peluang pelajar dan kakitangan akademik menambah pengalaman serta pengetahuan mengenai perbezaan dan keunikan budaya kedua-dua negara,” katanya.

Comments are closed.