Seri Paduka anggap individu miliki kelulusan palsu tidak bermaruah -Berita Harian

Seri Paduka anggap individu miliki kelulusan palsu tidak bermaruah SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam bertitah baginda tidak mahu ada warga negara Malaysia memiliki ijazah murahan, tidak diiktiraf dan diperoleh dengan cara yang tidak sah berikutan ia satu perbuatan tidak bermaruah. Baginda bertitah, jika perkara itu berlaku dan tidak dibendung, ia akan menjadikan rakyat negara ini secara keseluruhan masyarakat yang palsu dan tidak bermaruah. “Justeru, beta sarankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan semua universiti bertindak untuk menjamin kualiti, pengiktirafan dan integriti setiap ijazah yang mereka anugerahkan. “Di samping itu, kita juga mesti pantau dengan ketat dan teliti, mana-mana individu yang datang membawa ijazah mereka sebagai bahan untuk mendapat pekerjaan di tempat kita. Kita mesti pastikan ijazahnya adalah tulen dan diiktiraf,” titah baginda pada pembukaan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-71 di Dewan Sri Budiman, di sini, semalam. Tuanku Mizan yang juga Canselor UiTM, bertitah baginda pasti pencapaian yang diraikan pada konvokesyen itu adalah satu kejayaan yang tulen, hasil daripada usaha, titik peluh dan kebijaksanaan mahasiswa serta yakin diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran yang dikeluarkan oleh UiTM adalah tulen. Seramai 21,128 graduan bakal menerima diploma, diploma lepasan ijazah, ijazah sarjana muda dan sarjana serta ijazah doktor falsafah masing-masing dalam majlis konvokesyen yang berlangsung mulai semalam hingga 27 Oktober ini. Pada sesi pertama semalam, baginda berkenan menyampaikan ijazah kepada seramai 418 penerima doktor kehormat, ijazah doktor falsafah, sarjana dan penerima anugerah pingat, yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam. Musa menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kerajaan dan Politik. Turut menerima ijazah sarjana daripada Tuanku Mizan semalam, anak sulung Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan iaitu Mohd Rashid Azhari, 34. Mohd Rashid Azhari yang kini bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat juruperunding, Prokhas Sdn Bhd, menerima ijazah Sarjana Perakaunan Forensik dan Kriminologi Kewangan, selepas dua tahun menuntut secara separuh masa di UiTM. Musa yang ditemui selepas majlis konvokesyen ditangguhkan, berkata beliau bersyukur kepada Allah dengan kejayaan anaknya itu.

Comments are closed.