Inisiatif 1Siswa 1Malaysia -Kosmo!

Inisiatif 1Siswa 1Malaysia Oleh IZAM FAIRUS KAMARUDDIN izam@notes.usm.my USM mengilhamkan gagasan 1Siswa 1Malaysia kerana sedar perlu wujudnya satu platform penyatuan agar semua mahasiswa institusi pengajian tinggi dapat berkongsi pemahaman, penghayatan dan semangat 1Malaysia. PENGENALAN gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009 menyaksikan reaksi pelbagai masyarakat dari seluruh negara. Seluruh masyarakat menyambut baik dan melahirkan inisiatif di pelbagai peringkat khususnya agensi kerajaan, apatah lagi dalam suasana negara yang sedang mencari kembali formula untuk membolehkan rakyat bergerak maju secara bersama bagi membina keutuhan negara. Pada peringkat generasi muda intelek, atau sering dirujuk sebagai golongan mahasiswa, 1Malaysia mempunyai signifikasi yang tersendiri kerana golongan itu dilihat sebagai aset penting negara. Kini, inisiatif tersebut diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi menerusi penganjuran Perkampungan 1Siswa 1Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 9 hingga 11 Oktober lalu yang menghimpunkan lebih daripada 1,500 mahasiswa dari 24 buah institusi pengajian tinggi tempatan (IPT). Buat pertama kalinya, program sebegini dianjurkan pada skala yang cukup besar di peringkat IPT dan lengkap dijenamakan dengan logo dan lagu sendiri, hasil ciptaan komposer terkenal tanah air, Azmeer. Uniknya, ia juga disertai oleh rakan-rakan IPT swasta yang turut memberikan komitmen dalam menjayakan hasrat besar negara bagi membina generasi bangsa yang berupaya menerima dan tinggi toleransi terhadap perbezaan budaya, kefahaman dan tatacara kehidupan. Menyedari itulah, USM mengilhamkan gagasan 1Siswa 1Malaysia kerana sedar perlu wujudnya satu platform penyatuan agar semua mahasiswa dari seluruh IPT dapat berkongsi pemahaman, penghayatan dan semangat 1Malaysia dalam satu frekuensi pemikiran yang jelas secara bersama. Pemangku Naib Canselor USM, Prof. Omar Osman ketika merasmikan progam itu memberitahu, 1Siswa 1Malaysia memberi ruang kepada warga kampus belajar mengatasi perbezaan antara mereka dan memperhalusi langkah-langkah yang perlu untuk diambil bagi menjayakan gagasan 1Malaysia. “Mahasiswa mempunyai peranan tersendiri dan idea unik berhubung 1Malaysia. Mereka harus diberi peluang untuk menilai kekuatan dan mempelajari asas penting 1Malaysia yang berlandaskan kepada kata kunci ‘penerimaan.’ “Kami mahu 1Siswa 1Malaysia ini dijadikan program asas di peringkat IPT bagi membolehkan pelajar membawa kelainan dan idea unik mereka bagi membantu negara dan membolehkan 1Malaysia berfungsi sepenuhnya sebagai formula untuk mencapai Wawasan 2020,” katanya. Di perkampungan tersebut, mahasiswa berkumpul menjayakan slot khas, Persidangan Meja Bulat 1Siswa 1Malaysia, bagi menghayati gagasan berkenaan dan mencadangkan resolusi terbaik apa yang boleh ditawarkan oleh mahasiswa untuk memperkasakan lagi 1Malaysia. Menurut Omar, 1Siswa 1Malaysia juga dirancang agar boleh menjadi modul membina barisan generasi intelek yang lebih berdaya saing dan fleksibel supaya mereka mampu meneruskan warisan yang dibentuk oleh pucuk pimpinan negara.

Perkampungan itu turut menggabungkan elemen khidmat komuniti yang berjalan di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Elemen kebudayaan dan elemen intelektual yang dilihat penting bagi mencapai hasrat tersebut.

“Kami juga memperkenalkan program Handshake: A Malaysian Culture sebagai salah satu program utama Perkampungan 1Siswa 1Malaysia.

“Ia memperlihatkan bagaimana pelajar-pelajar antarabangsa di IPT tempatan menghayati seni budaya masyarakat di negara ini dan menterjemahkannya dalam bentuk persembahan budaya.

“Melihat seni dan tarian tradisional yang dipersembahkan oleh para pelajar antarabangsa dari rantau ASEAN dan Eropah, ia cukup menyatakan kepada kita betapa mereka memandang tinggi warisan budaya masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” ujarnya.

Program itu turut menyaksikan nyalaan 5,000 pelita dan 400 tanglung sempena sambutan Deepavali dan Pesta Tanglung USM yang diadakan serentak.

Pelajar dari University of Minnesota, Amerika Syarikat (AS), Ian Byrne, berkata, dia kagum melihat perpaduan kaum di negara ini dan keupayaan pelajar untuk menterjemahkannya ke dalam bentuk festival budaya terbesar yang pernah di saksikannya di sebuah IPT.

“Konsep 1Malaysia cukup unik dalam membentuk perpaduan di negara ini yang kaya dengan pelbagai latar budaya. Program 1Siswa 1Malaysia yang menghimpunkan pelajar-pelajar IPT sebegini amat bertepatan sekali kerana ia memberi visual yang cukup jelas terhadap penyatuan masyarakat di Malaysia,” kata beliau yang berada negara ini sejak Jun lalu.

Seorang lagi pelajar antarabangsa, Pinja Koski dari Metropolia University of Applied Sciences, Finland turut melahirkan rasa bangga kerana berpeluang terlibat dalam program sebegini yang sering dipandang sepi oleh sesetengah pelajar di negara lain.

“Memang perlu generasi muda diberi panduan dalam memahami kepentingan perpaduan. Gagasan 1Siswa 1Malaysia telah mewujudkan landasan positif sekali gus memberi asas terhadap konsep perpaduan yang sebenar.

“Ia harus dicontohi oleh pelbagai pihak di negara ini dan di luar sana,” kata beliau.

Dalam pada itu, penulis berpendapat, setiap individu harus berupaya menghargai perbezaan yang ada dan melihat perbezaan dalam konteks yang lebih luas, bukannya sebagai alat untuk memecah belah masyarakat.

Perbezaan itulah yang sebenarnya menjadi kunci kepada perpaduan yang tiada tolok bandingnya di negara ini.

Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Perhubungan Awam USM.

Comments are closed.