Penjanaan nilai dana, intelektual di Cambridge Ma wajar dicontohi-berita harian

——————————————————————————– Penjanaan nilai dana, intelektual di Cambridge Ma wajar dicontohi

Oleh Dr Zaini Ujang zaini@utm.my

KIRA-kira dua minggu lalu, warga Massachusetts gembira merayakan kejayaan Jack Szostak, profesor di Sekolah Perubatan Universiti Harvard sebagai seorang daripada penerima Hadiah Nobel (perubatan). Kali terakhir pada 2006 apabila Andrew Fire memenangi Hadiah Nobel (perubatan) dan George Smoot (fizik), kedua-duanya profesor dari Massachussets Institute of Technology (MIT). Tahun sebelumnya, Roy Glauber (fizik), Richard Schrock (kimia) dan Robert Anmann (ekonomi). Dengan kemenangan itu, Massachusetts adalah daerah paling ramai melahirkan penerima Hadiah Nobel di dunia, sama ada di kalangan profesor atau di kalangan alumni Harvard dan MIT. Jumlah penerima Hadiah Nobel (kimia) dari Massachussets saja setakat ini seramai 22, ekonomi 22, keamanan 11, fizik 42, perubatan/fisiologi 40. Pencapaian itu kira-kira separuh jumlah penerima Hadiah Nobel bagi Amerika Syarikat (AS). Itu sebabnya ahli Kongres Massachusetts, Michaele Capuaro dengan bangga menyenaraikan senarai penerima berkenaan dalam laman webnya. Jumlah penerima Hadiah Nobel seramai itu menandakan Massachusetts adalah daerah paling subur bagi perkembangan intelektual dan inovasi. Di sekitar Boston saja iaitu bandar raya utama dengan penduduk dua juta, ada 36 universiti dan kolej ternama. Belum selesai memperkatakan mengenai Hadiah Nobel, Harvard sekali lagi membanggakan warga Massachusetts apabila diumumkan sebagai universiti teratas senarai ranking universiti dunia. Ranking tahunan dilakukan THE-QS itu menempatkan MIT pada kedudukan ke-9 sementara Universiti Boston 54. Sejak ranking bermula pada 2004, Harvard terus mengekalkan kedudukan teratas, manakala MIT dalam lingkungan 10 terbaik, walaupun mempunyai senarai lebih ramai penerima Hadiah Nobel berbanding Harvard. Selain melahirkan intelektual, birokrat, teknokrat dan ahli korporat tersohor, tujuh alumni Harvard adalah Presiden AS iaitu John Adams, John Quincy Adams, Theodore and Franklin Delano Roosevelt, Rutherford B Hayes, John Fitzgerald Kennedy dan George W Bush. Selain itu, Harvard melahirkan nama besar seperti tokoh politik Al-Gore dan Benazir Bhutto, penulis John Updike, pemenang anugerah Academy Tommy Lee Jones dan Mira Sorvino, pelawak Fred Gwynne dan penyair T S Eliot. Kemunculan Harvard dan MIT sebagai pusat kecemerlangan akademik mempunyai latar belakang sejarah, sisipan sosial dan dukungan kewangan tersendiri. Di pekan kecil bernama Cambridge MA, kira-kira 7 kilometer dari muara Sungai Charles, Harvard College ditubuhkan sebagai universiti tertua di AS pada 1636. Nama Cambridge MA itu mengambil sempena Cambridge di England sebagai pusat pengajian tinggi. Kemudian disusuli penubuhan Boston State College pada 1852, MIT pada 1861 dan Universiti Boston pada 1869. Cambridge MA berkembang pesat sebagai ‘pelabuhan ilmiah’ dengan kehadiran imigran, awalnya dari Eropah, kemudian dari seluruh dunia. Harvard ditubuhkan 16 tahun selepas imigran dari England mendarat di Plymouth dengan hanya sembilan pelajar dan seorang guru. Institusi awal itu terus diperkukuhkan dengan kehadiran lebih ramai pengajar dan pelajar sebelum mereka meneroka daerah lain di AS. Sejak awal, komuniti ilmuwan terbabit begitu komited memajukan pendidikan. Mereka bukan saja berkumpul, belajar, berwacana, berinovasi, berkarya dan mengajar bahkan membangunkan institusi ilmu menerusi dana pelbagai pihak dan sumbangan peribadi. Sekadar contoh, Harvard ialah nama pengasas kolej di Cambridge MA, iaitu John Harvard yang mewasiatkan 400 naskhah buku dan wang berjumlah £779. Tanpa dukungan kerajaan dari segi dana, penubuhan institusi ilmu terus berkembang selari dengan kepesatan kependudukan dan industri di sekitar Massachusetts. Terasnya ialah pendidikan mengatasi bidang lain. Untuk itu sumbangan, dana, endowmen dan bayaran diperlukan untuk membangun, memaju dan memantapkan institusi ilmu. Hasilnya Harvard saja mempunyai lebih 11,000 penyumbang endowmen ketika ini yang berjumlah (selepas mengalami pengurangan lebih 30 peratus akibat krisis kewangan) lebih AS$26 bilion. Perkembangan ini bukan terhad kepada institusi bertaraf universiti saja. Malah, sekolah seperti Philips Academy di Andover mempunyai dana endowen berjumlah AS$800 juta. Endowmen itu digunakan untuk membiayai operasi institusi dan biasiswa pelajar. Di Harvard saja, AS$350 juta digunakan setahun untuk biasiswa sebahagian besar pelajar, sementara 60 peratus pelajar Philips Academy mendapat biasiswa (yuran pengajian hanya 60 peratus kos sebenar). Pada hemat saya, ekosistem intelektual di Massachusetts adalah antara terbaik di dunia untuk kita teladani di Malaysia. Tiga elemen penting perlu diberi perhatian. Pertama, institusi ilmu bukan instrumen kewangan untuk mengaut keuntungan peribadi. Itu asasnya semua institusi ilmu di Massachusetts dikendalikan oleh pemegang amanah yang mengendalikan yayasan dan dana endowmen. Kedua, institusi ilmu perlu dimulakan dengan kepemimpinan intelektual terbaik. Dalam konteks Harvard dan MIT, semua program baru dikendalikan tokoh ilmuwan paling menyerlah dalam bidang berkenaan tanpa mengira keturunan, warga negara dan fahaman politik. Ketiga, tumpuan diberikan kepada penjanaan nilai, bukan pembahagian nilai. Dengan kata lain, institusi ilmu perlu melakukan anjakan paradigma daripada memberi tumpuan kepada misi lokal kepada sesuatu penjanaan inovasi, kreativiti, nilai tinggi pada peringkat global. Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang mengikuti kursus di Harvard Business School, Boston, Amerika Syarika

Comments are closed.