Pensyarah perubatan merayu-Utusan Malaysia-12 Julai 2010

ARKIB : 12/07/2010

<!–         –>

Pensyarah perubatan merayu

PADA 24 Mac lalu, Utusan Malaysia telah melaporkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan kenaikan gaji untuk para pensyarah perubatan.

Beliau berkata, ”ia akan membolehkan golongan pensyarah tersebut memperoleh gaji yang setara dengan pegawai perubatan yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan” dan Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai skim pensyarah yang berbeza misalnya dalam bidang-bidang yang kritikal.

”Ketika ini, gaji pensyarah dalam bidang perubatan dan pergigian adalah rendah, jadi yang itu kita akan naikkan dulu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Meningkatkan Keberkesanan Peranan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

Pada masa itu kami dimaklumkan kenaikan akan bermula pada Julai 2010. Ya betul seperti yang dijanji, gaji kami naik. Saya menikmati kenaikan sebanyak RM2.10. Ya, dua ringgit dan sepuluh sen sahaja. Ini adalah kerana jadual gaji matriks bagi gred DU51-54 yang dinaikkan.

Apabila ditukar ke skim gaji baru, kami akan bermula pada tangga gaji yang lebih tinggi dari gaji sebelumnya walaupun turun gred. Dalam kes saya, saya diturunkan dari P1TS ke P1T3. Inilah kenaikan yang dijanjikan.

Tugas seorang pensyarah perubatan adalah pelbagai. Kami mempunyai pesakit seperti doktor-doktor lain. Jadi kami mempunyai wad, klinik dan menjalankan prosedur-prosedur atau pembedahan. Di samping itu, kami mempunyai tugas akademik iaitu mengajar pelajar-pelajar perubatan dan bakal pakar perubatan.

Ini melibatkan siri syarahan, tutorial, pengajaran di dalam wad, pemeriksa peperiksaan dan lain-lain.

Sebagai staf akademik universiti, kami juga dipaksa untuk membuat penyelidikan dan menghasilkan penerbitan di dalam jurnal terkemuka.

Ini merupakan KPI kami setiap tahun. Selalunya KPI kami akan ‘tersangkut’ di bahagian penerbitan ini. Bilakah masa untuk kami membuat penyelidikan dan menulis dan lebih menyedihkan kami tidakpun mempunyai bilik seperti pensyarah lain untuk duduk dan menulis.

Jika kami gagal menghasilkan dua penerbitan setiap tahun (bagi pensyarah kanan), ia akan menjejaskan peluang naik pangkat kami kerana kami tidak memenuhi KPI.

Akhirnya seorang pensyarah perubatan yang sibuk dengan tugas klinikal ini akan kecewa, dan akibatnya universiti kehilangan individu-individu yang berkualiti ini ke hospital swasta.

Agak pelik layanan terhadap pensyarah perubatan sebegini kerana kamilah yang melatih doktor-doktor dan pakar-pakar perubatan yang berkhidmat di hospital-hospital di seluruh negara.

Saya berpendapat puncanya ialah kami tiada seorang ‘bapa’ yang memperjuangkan nasib kami di peringkat atasan. Ini jelas berbeza dengan doktor-doktor di Kementerian Kesihatan yang mempunyai ketua pengarah yang jauh lebih baik baru-baru ini.

Saya bagi pihak pensyarah perubatan di seluruh Malaysia merayu agar pihak berkenaan mengkaji perkara ini dengan serius atau universiti akan terus kehilangan doktor pakar yang berkualiti ke Kementerian Kesihatan atau sektor swasta.

Ini sudah tentu akan menjejaskan latihan bakal doktor dan pakar perubatan dan seterusnya kualiti mutu khidmat kesihatan di seluruh negara.

DR. ZUL HILMI YAAKOB,

Pensyarah Kanan Unit Kardiologi,

Jabatan Perubatan Fakulti Perubatan

Universiti Malaya.

Comments are closed.