Setuju dengan rintihan pensyarah perubatan-Utusan Online

ARKIB : 13/07/2010

<!–         –>

 

Setuju dengan rintihan pensyarah perubatan

SAYA sungguh bersimpati dengan Dr. Zul Hilmi Yaakob dan rakan-rakan beliau, pensyarah-pensyarah perubatan di universiti-universiti Malaysia.

Saya sangat bersetuju dengan Dr. Zul yang pensyarah-pensyarah perubatan tidak mempunyai seorang ‘bapa’ memperjuang nasib mereka.

Tugas pensyarah perubatan ini adalah pelbagai seperti disebut oleh Dr. Zul iaitu klinikal, kerja wad, pembedahan, mengajar, membuat penyelidikan dan menerbit penemuan mereka dalam jurnal terkemuka, dan juga membantu dalam pentadbiran pejabat.

Fikirlah mana ada masa mereka ini membuat semua kerja ini. Kerja klinikal mereka, kerja di wad dan bilik pembedahan dan mengajar adalah sangat mendesak dan memerlukan sepenuh tenaga dan masa mereka. Manalah mereka ada masa untuk membuat penyelidikan dan menerbit penemuan mereka.

Justeru KPI utama mereka sepatutnya hendaklah fokus kepada kerja klinikal, kerja wad, bilik pembedahan dan mengajar. Manalah mereka ada masa membuat penyelidikan dan menerbit penemuan mereka. Timbanglah.

Saya ada dua orang anak yang bekerja sebagai Pensyarah Perubatan, seorang di UKM dan seorang lagi di UPM. Selepas mendapat ijazah perubatan, mereka bekerja sebagai Pensyarah Perubatan Pelatih dan diberi gaji pada Gred DU45 dan kemudian dihantar untuk mengambil ijazah sarjana.

Selepas mendapat ijazah sarjana mereka dilantik sebagai Pensyarah Perubatan. Anak saya di UKM terus dilantik Pensyarah Perubatan pada Gred DU52, manakala anak saya di UPM dilantik Pensyarah Perubatan Gred DU45 iaitu ditakuk lama.

Pihak UKM adalah lebih prihatin dalam perkara ini. Mengapakah ada perbezaan di antara universiti-universiti? Ini menunjukkan tidak ada sesiapa pun membela nasib pensyarah-pensyarah perubatan di UPM?

Sekarang ini nasib doktor-doktor di Kementerian Kesihatan Malaysia telah diperjuangkan dan mendapat kedudukan yang baik. Syabas kepada Ketua Pengarah Perubatan dan Menterinya. Pada hemat saya perlu ada seseorang untuk memperjuangkan nasib pensyarah-pensyarah perubatan di universiti-universiti, kalau tidak mereka boleh berfikir untuk berhijrah ke tempat lain.

BAPA DOKTOR

Kuala Lumpur

Comments are closed.