Pelajar Asasi Sains UM maut jatuh asrama – Utusan Online

Pelajar Asasi Sains UM maut jatuh asrama

Oleh TAN MING WAI tan.mingwai@utusan.com.my KUALA LUMPUR 30 Julai – Seorang pelajar Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya maut setelah terjatuh dari tingkat lima bangunan asrama Kolej Kediaman Dr. Nazrin Shah (Kolej Kediaman ke-12) di kampus itu di Lembah Pantai, hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa, Zulkhairi Azmi Md. Bukhari, 19, dikatakan cuba memanjat untuk menyeberangi bilik seorang rakannya yang berkunci kerana ingin mengambil telefon bimbit dan dompetnya yang tertinggal di situ. Tindakan pelajar itu bagaimanapun membawa padah apabila dia terjatuh dari tingkat lima yang menempatkan bilik rakannya, menyebabkan dia cedera parah di kepala dan badan. Allahyarham Zulkhairi Azmi meninggal dunia di tempat kejadian. Difahamkan, Allahyarham yang tinggal di tingkat tiga bangunan asrama yang sama, telah naik ke bilik rakannya itu malam tadi dan tidur di situ. Apabila pulang ke biliknya semula, dia menyedari telefon bimbit dan dompetnya tertinggal. Mangsa kemudian pergi semula ke tingkat lima untuk mendapatkan kedua-dua barang berkenaan. Ketika sampai, rakannya tiada di bilik dan pintunya berkunci. Allahyarham mengambil keputusan menyeberangi bilik tersebut menerusi bilik seorang rakan di sebelahnya. Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. Sementara itu, seorang rakan Allahyarham yang enggan identitinya dikenali berkata, Allahyarham sepatutnya pulang ke kampungnya di Mersing, Johor kerana sedang bercuti. “Dia bagaimanapun tidak berbuat demikian kerana bakal menghadapi peperiksaan dalam dua minggu lagi, jadi dia tinggal untuk mengulangkaji pelajaran,” katanya. Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Kes seperti ini bukan pertama kali berlaku kerana dua kes sebelum ini pernah membabitkan pelajar universiti di Lembah Klang. Pada 13 Julai tahun lalu, seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd. Khalis Zulkifli, 19, maut ketika cuba memanjat masuk ke biliknya di tingkat empat melalui tingkap. Kejadian berlaku di Blok C, Kediaman Kedua Siswa Jaya UTM di Jalan Rejang 4, Setapak Jaya. Allahyarham mengambil tindakan itu selepas rakan sebiliknya tidak menyedari bunyi ketukan pintu. Kira-kira sebulan sebelum itu, pada 23 Jun, seorang mahasiswi Sarjana Sains Kimia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditemui mati di tempat letak kereta Kolej Kediaman Pendeta Za’ba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Mangsa, Wan Siti Farihan Wan Mohamed Hassan, 23, yang berasal dari Kelantan, maut selepas terjatuh dari biliknya di tingkat empat.

Comments are closed.