Cadangan benarkan pensyarah, mahasiswa berpolitik perlu dipertimbang-Utusan

Cadangan benarkan pensyarah, mahasiswa berpolitik perlu dipertimbang

31/07/2010 7:08pm

 

JOHOR BHARU 31 Julai— Cadangan Pergerakan Pemuda Umno supaya kerajaan turut membenarkan pensyarah dan mahasiswa melibatkan diri dalam politik seperti yang diberikan kepada guru perlu dipertimbangkan secara mendalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, universiti dijadikan sebagai gelanggang politik dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa akan datang.

“Proses mempengaruh akan berlaku sekiranya universiti itu dijadikan gelanggang politik. Walaupun cadangan itu disertakan dengan syarat iaitu pensyarah perlu beri perhatian mengajar dan pelajar beri perhatian untuk belajar, namun, tetap akan menimbulkan masalah,” katanya pada majlis penyampaian hadiah golf amal anjuran Majlis Kebajikan dan Pembangunan Penyayang (Mayang) Parlimen Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan supaya kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi membolehkan golongan mahasiswa untuk aktif berpolitik.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata langkah itu boleh melahirkan barisan pemimpin politik yang terbaik. – Bernama

Comments are closed.