Islam, Melayu, Komunis -SIRD

Islam, Melayu, Komunis

Wawancara Dengan: Abdullah C.D, Rashid Maidin, Abu Samah

Penerbit: SIRD Petaling Jaya 2005

Buku kecil ini memaparkan cebisan pengalaman tiga pejuang kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Abdullah C.D, Rashid Maidin dan Abu Samah. Menurut Abdullah CD dalam buku ini, “Komunisme adalah musuh kapitalisme. Fikiran anti komunis sebenarnya ditimbulkan oleh penjajah sebagai bapa kapitalisme.”

Apabila ditanya pendapatnya PKM dan TPNM dituduh sebagai pengganas, Abdullah CD menjawab:

“Tuduhan ini sebenarnya propoganda yang dilemparkan oleh penjajah British kepada pejuang yang menentang kekuasaan dan kepentingannya. Pahlawan anti-penjajah dahulu seperti Maharajalela, Tok Sagor, Datuk Bahaman dan Tok Janggut semuanya dicap “penderhaka” oleh British. Yamtuan Raja Haji, yang melawan Belanda, dicap sebagai “lanun”. Ini tidak menghairankan.

Bahkan hari ini, pejuang Palestin juga dicap “pengganas” oleh imperialis Amerika dan Zionis Israel. Begitu juga, pejuang kulit hitam di Afrika Selatan. Pada hal, seluruh dunia tahu bahawa pengganas yang sebenar ialah kaum Zionis Israel dan kaum rasis Afrika Selatan yang kedua-duanya ditunjangi oleh  imperialis Amerika itu sendiri.

Anggota PKM dan TPNM adalah kaum patriot, pejuang kemerdekaan dan kebebasan, bukannya pengganas. Penjajah British sengaja menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam untuk memburuk-burukkan kami serta meperelokkan dirinya.” 

Tentang pegangan agama pula, Abdullah CD menyatakan “…ada orang menganggap kerana kami menggunakan Marxisme, maka kami tidak beragama atau menentang agama. Pandangan seperti ini sebenarnya telah diracuni oleh hasutan penjajah. PKM melaksanakan dasar kebebasan beragama dan menghormati adat istiadat rakyat semua bangsa. Saya dilahirkan sebagai Islam dan dibesarkan dengan didikan Islam. Di mana juga saya berada, pegangan ini tetap tidak berubah.”

Sejarah adalah “his story” iaitu “ceritanya”. Jadi buku ini adalah sumber rujukan yang mampu memuaskan  pembaca yang ingin mengetahui sejarah, perjuangan, pengalaman dan pandangan pejuang-pejuang ini. Kajian mendalam dalam buku seterusnya (jika ada) akan dapat melengkapkan buku kecil namun padat ini. Seorang pengkaji sejarah yang ikhlas lagi jujur akan membuka matanya luas-luas mencari malah menggali kebenaran tanpa mempedulikan propoganda, sentimen serta pandangan pihak berkuasa yang tidak jujur yang berniat mengaburi sejarah untuk menutup kebenaran.

Comments are closed.